Isnin, 20 March 2023 | 3:01pm
BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus tahun ini -NSTP/Aswadi Alias
BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus tahun ini -NSTP/Aswadi Alias

Kitaran kenaikan kadar faedah semakin hampir berakhir

KUALA LUMPUR: Bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan mengekalkan kadar faedah pada mesyuaratnya minggu ini, yang mana jika ia berlaku akan mengurangkan tekanan menaikkan kadar bagi bank-bank pusat di Asia Pasifik termasuk Malaysia, demikian menurut penganalisis.

Langkah Fed menghentikan sementara kenaikan kadarnya akan memberi kelegaan kepada bank-bank pusat lain daripada menaikkan kadar faedah bagi mengekang kemerosotan mata wang masing-masing berbanding dolar AS.

Moody's Analytics dalam nota penyelidikannya berkata, Fed dijangka berhenti seketika kenaikan kadar faedah pada mesyuaratnya bulan ini bagi bertindak balas terhadap kegagalan tiga bank di negara itu dengan mengetatkan standard taja jamin dan ketersediaan kredit.

"Langkah menghentikan sementara pada bulan ini oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) akan memberikan bank pusat di rantau Asia Pasifik sedikit ruang bernafas .

"Bank pusat di Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan sudah pun menghentikan kenaikan kadar dasar monetari mereka, dan yang lain mungkin melakukan perkara yang sama, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat kerana risiko susut nilai mata wang akan berkurangan jika Fed tidak mengetatkan (dasar monetarinya)," katanya.

Moody's Analytics berkata, di negara yang inflasi masih belum dikurangkan, termasuk Australia, India, Filipina dan Vietnam, bank pusat mungkin terus menaikkan kadar sambil memerhati sama ada pengetatan standard pinjaman memberi kesan yang ketara kepada mereka.

Ia berkata, penutupan bank di AS dilihat tidak mengancam ekonomi rantau itu secara langsung.

Katanya, tinjauan masih mengandaikan satu atau dua lagi kenaikan kadar oleh bank pusat yang masih melawan kenaikan inflasi.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata terdapat kemungkinan Fed untuk membuat kejutan dengan tidak menaikkan kadar faedah pada minggu ini.

Beliau berkata, ia berikutan beberapa bank seperti Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank sudah mula menunjukkan tanda tekanan terhadap lembaran imbangan masing-masing.

Katanya, ia banyak disumbang oleh kenaikan kadar pulangan bon atau hasil bon yang banyak dipengaruhi oleh keputusan Fed menaikkan kadar faedah secara agresif.

"Di samping itu, kadar inflasi juga secara berterusan menunjukkan trend yang perlahan seperti yang ditunjukkan angka terkini, yang mana Indeks Harga Pengguna (IHP) (di AS) meningkat enam peratus pada Februari yang lalu berbanding 9.1 peratus pada Jun tahun lalu," katanya.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus untuk 2023.

Ia berkata, pihaknya percaya BNM akan mengekalkan penanda aras kadar pinjaman dan deposit tempatan memandangkan keadaan pasaran kewangan tempatan dan global.

Firma penyelidikan itu berpendapat bank pusat itu sudah terlepas peluang untuk menaikkan kadar faedah pada dua mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC) bagi tahun ini terutamanya ketika data ekonomi domestik masih mencerminkan arah aliran yang stabil dan kukuh.

Katanya, jika OPR dinormalisasi sepenuhnya pada 3.00 peratus lebih awal, ia akan memberikan ruang kewangan yang lebih besar untuk bank pusat sekiranya berlaku kelembapan ekonomi domestik lebih teruk daripada dijangkakan.

Walau bagaimanapun, jelasnya, keputusan akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, peningkatan kadar harga dan peningkatan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, khususnya pemulihan berterusan dalam pasaran pekerjaan dan permintaan dalam negeri yang semakin meningkat.

Berita Harian X