KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sistem perbankan Malaysia kekal mempunyai tahap permodalan yang kukuh dan penampan mudah tunai yang teguh.
Bank pusat itu berkata, sistem perbankan Malaysia tidak mempunyai dedahan langsung kepada bank-bank yang baru ditutup di Amerika Syarikat (AS).
Katanya, sebarang dedahan tidak langsung, contohnya daripada rakan niaga atau peminjam yang mempunyai hubungan dengan bank AS adalah sangat terhad.
"Semua bank berlesen di Malaysia, sama ada milik domestik atau asing, besar atau kecil, perlu mematuhi peraturan modal dan mudah tunai yang ketat secara berterusan.
"Peraturan ini dirangka untuk memastikan bank-bank dapat menghadapi keadaan tekanan," katanya dalam satu kenyataan.
Ia berkata demikian sebagai maklum balas kepada media mengenai kedudukan sistem perbankan di Malaysia berikutan kebimbangan baharu terhadap krisis perbankan global selepas penularan daripada Silicon Valley Bank (SVB) yang berpangkalan di AS merebak merentasi Atlantik ke bank Switzerland, Credit Suisse.
Mengulas lanjut, BNM berkata, ujian tekanan yang dijalankan bank pusat itu dan bank-bank secara berkala telah mengesahkan bahawa bank-bank boleh menghadapi kejutan
makroekonomi dan kewangan yang serius.
Malah, katanya, bank-bank di Malaysia juga kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pinjaman kepada perniagaan dan isi rumah jika berlaku pelbagai kejadian buruk.
"Maklumat terperinci ujian tekanan diterbitkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan dua kali setahun.
"BNM akan terus memantau sistem kewangan domestik dengan teliti bagi memastikan fungsinya teratur," katanya.
Credit Suisse, yang berjuang untuk pulih daripada rentetan skandal yang menjejaskan keyakinan pelabur dan pelanggan, adalah mangsa terbaharu yang terperangkap dalam krisis keyakinan selepas kejatuhan SVB minggu lalu.
Penutupan SVB pada Jumaat, diikuti dua hari kemudian oleh kejatuhan Signature Bank, memaksa Presiden AS, Joe Biden untuk tergesa-gesa memberi jaminan bahawa sistem kewangan adalah selamat dan mendorong langkah kecemasan AS yang memberikan bank akses kepada lebih banyak pembiayaan.
Moody's Investors Services berpendapat, penutupan dua bank di AS akan memberi impak yang terhad kepada kebanyakan institusi kewangan yang dinilai di Asia-Pasifik (APAC).
Ia berkata, kebanyakan institusi APAC tidak terdedah kepada bank-bank AS yang gagal, dan hanya segelintir institusi yang mempunyai pendedahan yang tidak material.