Rabu, 8 March 2023 | 12:02pm
Anwar berucap pada Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia dan Maybank - Foto BERNAMA
Anwar berucap pada Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia dan Maybank - Foto BERNAMA

'Itu kena tanya Bank Negara'

KUALA LUMPUR: "Itu kena tanya Bank Negara (Malaysia)," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ringkas ketika ditanya sama ada Kadar Dasar Semalaman (OPR) berpotensi dinaikkan susulan prestasi mata wang tempatan yang terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

Nilai ringgit kembali dibuka rendah berbanding dolar AS selepas mencatatkan kenaikan pada hari-hari sebelumnya apabila dolar AS mengukuh, didorong oleh laporan monetari separuh tahun kepada kongres oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih memihak kepada menaikkan kadar faedah.

Mata wang tempatan menyusut nilai menjadi 4.5065/5140 berbanding dolar daripada penutupan Selasa pada paras 4.4710/4730.

Pada 18 Januari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Penganalisis berpandangan BNM dijangka mengulangi langkah sama dalam mesyuarat MPC hari ini bagi memerhati kesan kenaikan kadar faedah terdahulu terhadap momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, kebarangkalian untuk BNM mengekalkan OPR pada tahap sekarang adalah agak tinggi selepas mengambil kira kadar pengangguran masih lagi statik di paras 3.6 peratus, pengurangan impak suntikan fiskal, manakala kadar inflasi yang perlahan juga mungkin akan dipertimbang.

Sementara itu Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Edward Lee, berkata kenaikan OPR dijangka dibuat pada Mei ini selepas BNM mengambil langkah di luar jangkaan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus Januari lalu.

Berita Harian X