Ahad, 5 March 2023 | 1:30pm
BNM mengekalkan OPR pada mesyuarat terakhir Januari lalu - NSTP/Hairul Anuar Rahim
BNM mengekalkan OPR pada mesyuarat terakhir Januari lalu - NSTP/Hairul Anuar Rahim

BNM mungkin kekalkan lagi OPR bulan ini

KUALA LUMPUR: Selepas membuat kejutan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 2.75 peratus Januari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengulangi langkah sama dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini bagi memerhati kesan kenaikan kadar faedah terdahulu terhadap momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, kebarangkalian untuk BNM mengekalkan OPR pada tahap sekarang adalah agak tinggi selepas mengambil kira kadar pengangguran masih lagi statik di paras 3.6 peratus, pengurangan impak suntikan fiskal, manakala kadar inflasi yang perlahan juga mungkin akan dipertimbang.

Katanya, pertumbuhan upah dan gaji yang dijangkakan perlahan pada tahun ini, di samping kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) yang semakin kurang agresif turut mendorong kebarangkalian bank pusat mengekalkan OPR.

"Normalisasi dasar monetari negara mungkin akan diteruskan semula pada Mei kelak. Namun, sekiranya BNM menaikkan OPR pada minggu depan, kemungkinan ia adalah bertujuan defensif untuk mengurangkan aliran keluar pelaburan portfolio asing disebabkan oleh jurang kadar faedah dan hasil bon negara yang semakin besar," katanya kepada BH.

Januari lalu, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.

OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis meramalkan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 0.25 peratus lagi.

Penganalisis berpandangan keputusan BNM mengekalkan OPR adalah bagi menyokong ekonomi domestik supaya terus mengekalkan momentum pemulihan.

Megulas lanjut, Firdaos berkata, BNM perlu meneruskan proses normalisasi dasar monetari selari dengan pemulihan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutamanya pemulihan pasaran pekerjaan.

"Dasar ini perlu untuk mengelakkan ekonomi negara mengambil risiko kewangan yang berlebihan tatkala paras OPR yang masih rendah berbanding kadar inflasi. Ya (wajar naikkan OPR), tetapi ia perlulah dilakukan berdasarkan statistik makroekonomi luaran dan dalaman yang terkini," katanya.

Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, walaupun ada kemungkinan OPR dikekalkan, namun kewajaran ia dinaikkan memandangkan kadar faedah rendah boleh memberi kemudaratan kepada ekonomi.

"Ia boleh menyebabkan kadar keberhutangan dalam kalangan isi rumah dan firma semakin tinggi disebabkan kos pinjaman yang murah tatkala pertumbuhan ekonomi telah mula rancak hasil daripada proses pembukaan ekonomi sejak Oktober 2021.

"Pembukaan ekonomi China pada akhir tahun lalu juga bakal menyuntik aktiviti ekonomi terutamanya sektor berkaitan pelancongan, pengangkutan serta makanan dan minuman," katanya.

Mengulas lanjut, Afzanizam berkata, sekiranya OPR dibiarkan rendah untuk tempoh yang lama, pendeposit akan mendapat pulangan yang rendah kerana kadar pulangannya bergantung kepada paras kadar berkenaan.

Katanya, ia juga boleh menyebabkan aktiviti spekulasi di dalam pasaran hartanah, kewangan dan mungkin terjebak dengan skim cepat kaya dengan tujuan mendapat pulangan pelaburan yang cepat dan tinggi.

"Di samping itu, OPR yang rendah juga akan mengurangkan ruang dasar bagi BNM untuk bertindak sekiranya berlaku kejutan ekonomi pada masa akan datang. Maksudnya, keupayaan BNM untuk mengurangkan OPR adalah terhad disebabkan kadarnya yang telah pun rendah.

"Dengan erti kata lain, OPR rendah untuk satu tempoh yang lama dengan pertumbuhan ekonomi telah pun pulih, boleh mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, jika melihat trend OPR, ia kebiasaannya akan berlegar sekitar 3.0 hingga 3.25 peratus ketika ekonomi dalam keadaan yang normal.

"Memandangkan negara telah pun mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus tahun lalu, maka kemungkinan OPR dinaikkan sememangnya ada. Namun, dari segi masa, tempoh separuh kedua tahun ini dilihat masa yang sesuai," katanya.

Berita Harian X