Rabu, 1 March 2023 | 5:54pm
HSBC Global Research menjangkakan Malaysia catat pertumbuhan 4.0 peratus pada 2023 - Foto fail NSTP
HSBC Global Research menjangkakan Malaysia catat pertumbuhan 4.0 peratus pada 2023 - Foto fail NSTP

Malaysia sedia potensi besar kepada pelabur - HSBC

Oleh Mahanum Abdul [email protected]

KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi penerima utama transformasi ekonomi global dengan terus merebut peluang meningkatkan ketersambungan antarabangsa dalam tempoh pasca pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq, berkata keadaan pasaran global semasa mempercepatkan tumpuan mengalihkan pusat ekonomi dunia ke arah Asia, dengan rantau ASEAN memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan itu.

Beliau berkata, terletak secara strategik di tengah-tengah ASEAN, Malaysia terus menawarkan potensi besar kepada pelabur.

Jelasnya, walaupun berdepan cabaran pada 2022, negara ini adalah negara berprestasi serantau yang jelas didorong oleh enjin luarannya yang berdaya tahan dan permintaan domestik yang berkembang pesat.

Katanya, HSBC Global Research menjangkakan pertumbuhan 2023 menjadi sederhana kepada 4.0 peratus, yang mana ia terus menjadi kadar pertumbuhan yang sangat kukuh pada zaman ini.

"Pada masa sama, organisasi di negara ini perlu memperoleh kelebihan daya saing dalam era baharu dan menarik lebih banyak pelaburan, ia penting bagi mereka untuk memanfaatkan peluang mengukuhkan hubungan antarabangsa mereka.

"Ia akan menjadi faktor penting untuk membuka akses kepada prospek pertumbuhan dan pembangunan," katanya pada HSBC Asian Business Forum.

HSBC Malaysia berkata, bidang yang boleh diberi perhatian oleh perniagaan Malaysia pada 2023 ialah menerima peralihan ekonomi ke Asia dan ASEAN; pembukaan semula China; mempelbagaikan rantaian bekalan dan melabur dalam ekonomi digital.

Ia berkata, pelaburan berterusan dalam digital bukan saja merangsangkan keutuhan syarikat, tetapi juga membuka peluang pewujudan nilai rentas sempadan.

Katanya, peluang besar ada untuk perniagaan di Malaysia memacu dalam era baharu termasuk mengembangkan pelaburan dalam bidang yang memudahkan ketersambungan antarabangsa sementara membolehkan mereka memperoleh kelebihan daya saing.

Berita Harian X