Ahad, 26 Februari 2023 | 10:05am
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holding Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holding Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad. - NSTP/OWEE AH CHUN.

Perkukuh PKS menerusi pendigitalan

KUALA LUMPUR: CIMB Group menyifatkan tumpuan Belanjawan 2023 terhadap kemampanan dan pendigitalan akan mengukuhkan pertumbuhan dan daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain memastikan ekonomi teguh pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata tumpuan itu sejajar dengan agenda dan aspirasi kemampanan kumpulan untuk menjadi peneraju kemampanan di ASEAN.

Katanya, ini apabila ia mengiktiraf peranan penting institusi kewangan untuk memangkin dalam melaksanakan amalan sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Kami gembira menyaksikan sokongan pembiayaan untuk syarikat pemula dan PKS.

"Ini termasuk pembiayaan sebanyak RM2 bilion untuk menyokong syarikat pemula teknologi mampan dan membantu PKS melaksanakan amalan rendah karbon serta RM1 bilion untuk membantu PKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi mereka," katanya dalam kenyataan.

Kumpulan perbankan itu turut mengalu-alukan cadangan pengurangan cukai ke atas perbelanjaan penyenaraian untuk pasaran ACE dan LEAP menjelang 2025.

Perbelanjaan penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di pasaran utama Bursa Malaysia dan kelonggaran proses penyenaraian sekunder untuk instrumen pasaran swasta bagi meningkatkan kecairan.

"Pengenalan penyenaraian saham dwi kelas juga adalah perkembangan yang menggalakkan untuk memacu penyenaraian syarikat teknologi pertumbuhan tinggi di peringkat domestik.

"Melalui CIMB Investment Bank, kami akan terus memainkan peranan kami untuk mempromosikan pasaran modal yang lebih berdaya tahan.

"Kami turut mengalu-alukan langkah menaikkan siling pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) kepada RM300,000, yang akan meningkatkan pemilikan dan penyertaan ekuiti Bumiputera dan, dalam jangka panjang, membantu menjamin daya tahan kewangan mereka," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir, memuji gesaan kerajaan untuk mengukuhkan pembiayaan Islam yang akan memberi petanda baik kepada Malaysia sebagai hab pembiayaan Islam.

"Di Ambank, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah tapak asas penting untuk pelanggan kami dan kami menyokong usaha kerajaan dalam memberi dokongan kepada mereka secara khusus menerusi pinjaman RM10 bilion daripada dana yang akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meringankan beban kewangan PKS.

"Selain itu langkah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) memberi jaminan sehingga RM20 bilion, memberi tumpuan kepada sektor seperti teknologi tinggi, pertanian, dan pembuatan. Ini sudah semestinya akan merangsang PKS tempatan," katanya.

Berita Harian X