KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang memperbaharui dan mengemaskini Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2023) yang dijangka siap pada suku ketiga 2023.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pelan induk itu akan mengupas isu-isu utama, seperti reformasi struktur, meningkatkan kepelbagaian ekonomi negara, mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk industri sasaran.
Serta membina kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memenuhi permintaan pasaran global.
"Antara langkah utama Bajet 2023 bagi MITI mencapai objektifnya adalah memudahcara pelaburan terutamanya di dalam sektor berteknologi dan berimpak tinggi, selaras dengan Dasar Pelaburan Negara, terutama sekali dari segi peruntukan insentif kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi
memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.
"Ini termasuk usaha untuk memperkasakan persekitaran pelaburan di Malaysia melalui Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI). Malaysia Productivity Corporation (MPC) juga akan terus
memperluaskan skop PEMUDAH di peringkat negeri," katanya dalam kenyataan mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, pengutamaan sektor-sektor berpotensi besar seperti Elektrikal & Elektronik (E&E) dan aeroangkasa, dari segi insentif cukai pemindahan operasi ke Malaysia, dan insentif cukai pendapatan modal insan C-Suite bakal meningkatkan pelaburan oleh syarikat-syarikat multinasional bagi
memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penting dalam rantaian bekalan global industri berkenaan.
"Ini juga adalah seiring dengan sasaran Pelan Pelaburan Nasional baharu berasaskan Aspirasi Pelaburan Nasional.
"MITI melalui Halal Development Corporation akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan Wakaf MADANI dengan aset-aset bernilai RM1 bilion bagi menepati keperluan
kumpulan sasar.
"Selain itu, Pelanjutan tempoh insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) sehingga 31 Disember 2025 dengan penambahbaikan tempoh galakan kepada lima tahun bagi aktiviti hijau yang layak adalah selari dengan fokus MITI dalam menggubal rangka kerja kebangsaan ESG bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan," katanya.
Tambahnya, perbincangan juga akan diadakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memudahcara penyaluran dana pinjaman kepada syarikat pemula teknologi lestari bagi membantu syarikat PKS dalam sektor pembuatan beralih kepada proses rendah karbon.
"Dalam mempertingkatkan tahap pendigitalan dan automasi sektor pembuatan khususnya PMKS, MITI juga mengalu-alukan dana pembiayaan di bawah BNM yang boleh disalurkan kepada syarikat-syarikat yang layak.
"Memperkasakan industri dari segi pembangunan tenaga kerja mahir, termasuk inisiatif Academy in Factory (AiF) yang bakal menyediakan peluang kepada lebih 50,000 pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.
"Ini mencerminkan pendekatan holistik kerajaan terhadap latihan TVET melalui kerjasama awam-swasta bagi memenuhi keperluan tenaga mahir industri terutamanya dalam sektor pembuatan," katanya.
Tengku Zafrul berkata, bajet yang disalurkan itu sekaligus menyokong dasar-dasar utama dibangun oleh MITI seperti Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional, Dasar Automotif Nasional 2020, Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD), Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025.
"Kesemua dasar ini bertujuan, antara lainnya, untuk membina ekosistem pelaburan yang menawarkan pemangkin (enablers) kepada pelabur asing dan tempatan; mengarusperdanakan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi membuka peluang pasaran lebih luas kepada industri negara terutamanya PKS;
"...dan menarik industri-industri strategik, berteraskan teknologi IR4.0 dan berimpak tinggi bagi menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat
tempatan," katanya.