WASHINGTON: Presiden Bank Dunia, David Malpass meletakkan jawatan secara mengejut apabila mengumumkan beliau akan berundur pada akhir Jun ini, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Malpass berkata, beliau akan meletakkan jawatan pada 30 Jun selepas memimpin kumpulan itu selama lebih empat tahun, kata bank pembangunan berpangkalan di Washington itu dalam satu kenyataan.
"Empat tahun yang terakhir ini adalah paling bermakna dalam kerjaya saya," kata Malpass.
"Selepas mencatatkan banyak kemajuan, dan selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk meneruskan cabaran baharu."
"Dengan negara sedang membangun berdepan krisis yang pernah dilalui sebelumnya, saya berbangga bahawa Bank Dunia bertindak dengan pantas, berskala, berinovasi dan berimpak," tambahnya.
Malpass akan meletakkan jawatan setahun sebelum penggalnya berakhir.
Beliau dikritik hebat di atas beberapa kenyataannya berkenaan perubahan iklim dan dituduh menjadi penafi krisis iklim.
September lalu, ahli ekonomi Amerika Syarikat (AS) itu mengelak soalan sama ada membakar bahan api fosil menyumbang kepada pemanasan global, sebaliknya berkata: "Saya bukan seorang saintis."
Ketua Bank Dunia itu dikriktik hebat di atas kenyataan berkenaan, termasuk oleh Rumah Putih serta Menteri Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi Jerman, Svenja Schulze, yang ketika itu menganggapnya sebagai 'menjelikkan'.
Malpass kemudiannya berkata, beliau menyesali pemilihan perkataannya.
Malpass memegang jawatan itu pada 2019 semasa pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, yang mencalonkannya.
Beliau dilantik untuk tempoh lima tahun.
Bank Dunia meminjamkan wang kepada negara-negara miskin dengan syarat yang sesuai dengan sasaran mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan.
Pertubuhan itu disokong oleh 189 negara di seluruh dunia.
-BERNAMA