KUALA LUMPUR: Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi tahun ini akan menyederhana kepada 4.0 peratus daripada 8.7 peratus pada 2022.
Pertumbuhan ekonomi dijangka terus perlahan pada suku-suku akan datang susulan pertumbuhan lebih rendah tahun-ke-tahun pada 7.0 peratus dalam suku keempat 2022 berbanding 14.2 peratus dalam suku ketiga, katanya.
"Biarpun kami menjangkakan ekonomi kembali tumbuh pada suku-suku akan datang (berasaskan suku ke suku), kami percaya kadar pengembangan ekonomi akan menyederhana secara ketara di masa depan apabila keadaan kredit diperketat manakala permintaan menyusut.
"Malah, prospek eksport diunjur lemah akibat ekonomi global yang perlahan serta industri semikonduktor yang terus menyaksikan aliran penurunan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fitch Solutions juga menyifatkan pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 5.0 peratus tahun ini daripada 11.5 peratus pada 2022 manakala pertumbuhan pelaburan tetap kasar akan perlahan kepada 2.0 peratus daripada 6.8 peratus pada tahun lalu.
Menurutnya, sekiranya perang Russia-Ukraine berterusan dan sekatan terhadap Russia diperketat, ini akan menyebabkan ketidaktentuan harga komoditi dan memburukkan lagi kekurangan komoditi utama di peringkat global seperti minyak dan minyak sawit dengan pembabitan Malaysia sebagai pengeksport bersih.
Dari segi penurunan, ia berkata kemelesetan global akan menyebabkan kelembapan selanjutnya dalam aktiviti perdagangan.
"Memandangkan eksport menyumbang hampir 74 peratus daripada KDNK Malaysia, keadaan sedemikian boleh menjejaskan pertumbuhan utama," katanya.
-BERNAMA