Isnin, 13 Februari 2023 | 6:14pm
Pertumbuhan domestik kekal disokong oleh peningkatan persekitaran tenaga kerja tempatan -NSTP/Hazreen Mohamad
Pertumbuhan domestik kekal disokong oleh peningkatan persekitaran tenaga kerja tempatan -NSTP/Hazreen Mohamad

Pertumbuhan ekonomi Malaysia disokong potensi kenaikan gaji, pengangguran rendah

KUALA LUMPUR: Kenanga Research menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 4.7 peratus daripada 4.3 peratus, disokong oleh beberapa faktor termasuk unjuran permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.

Faktor lain termasuk langkah pengembangan fiskal, kesan normalisasi pasca-COVID-19, tindakan China membuka semula ekonominya serta prospek kelembapan ekonomi global yang diunjur tidak seburuk dijangkakan.

Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd itu berkata, KDNK tahun ini diunjur berkembang dengan sederhana akibat normalisasi aktiviti ekonomi, impak keadaan kewangan yang lebih ketat oleh kalangan bank-bank pusat global serta prospek pertumbuhan dunia yang perlahan di tengah-tengah risiko geopolitik ketara dan ketidaktentuan harga komoditi.

"Namun, pertumbuhan domestik kekal disokong oleh peningkatan persekitaran tenaga kerja tempatan dan potensi kenaikan gaji dengan kadar pengangguran dijangka kembali ke paras sebelum pandemik sebanyak 3.3 peratus pada tahun ini.

"Ini akan dipacu seterusnya oleh langkah menyambung semula serta merealisasikan projek-projek kerajaan dan kenaikan kedatangan pelancong yang berterusan," katanya dalam nota tinjauannya hari ini.

Menurut Kenanga Research, ketibaan pelancong itu meningkat 12.9 peratus bagi bulan ke bulan yang mencecah 1.2 juta pada September 2022.

Bagaimanapun, katanya, unjuran tersebut tetap berdepan beberapa risiko, terutamanya di peringkat luaran seperti ketegangan Russia-Ukraine dan hubungan Amerika Syarikat (AS)-China serta prospek berlakunya kemelesetan di beberapa negara utama dunia.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula mengekalkan unjurannya terhadap Malaysia untuk tumbuh pada kadar lebih sederhana 4.0 peratus tahun ini susulan kesan cabaran luar dan asas rendah yang kian reda.

Dalam nota tinjauannya, HLIB berkata bagi tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengulangi bahawa ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan domestik, peningkatan pasaran tenaga kerja yang berterusan dan projek pelaburan pelbagai tahun yang siap.

Dalam pada itu, CGS CIMB Research mengunjurkan Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus pada 2023 berikutan penyusutan permintaan di dalam dan luar negara.

"Penggunaan swasta diunjur lebih lemah pada suku keempat 2022 dalam persekitaran kenaikan kos sara hidup. Bagaimanapun, kadar pengangguran menunjukkan aliran penurunan dan disasarkan mencapai tahap pra-pandemik iaitu 3.3 peratus pada 2023.

CGS CIMB berkata, kelonggaran sekatan dalam pengambilan khidmat pekerja asing juga dijangka dapat menangani kekurangan pekerja, khususnya di sektor pertanian.

"Oleh itu, kami menjangkakan pembentangan semula Belanjawan 2023 (pada 24 Februari 2023) akan memberi panduan mengenai strategi kerajaan dalam menangani kenaikan kos sara hidup," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X