KOTA KINABALU: Agrobank mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan perbankan bergerak di Sabah bagi memudahkan penduduk luar bandar di negeri ini melakukan transaksi kewangan dengan bank berkenaan.
Perkhidmatan itu yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di sini, semalam akan beroperasi di daerah Tawau, Lahad Datu dan Beaufort.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata perkhidmatan bank bergerak pertama di Sabah oleh Agrobank itu selaras dengan agenda kerajaan dalam meningkatkan inklusiviti kewangan di kawasan luar bandar.
Katanya, inisiatif itu juga seiring dengan iltizam Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan (IKP) ke arah meningkatkan pembangunan luar bandar menerusi capaian rangkuman kewangan.
Beliau berkata, perkara itu dapat dicapai dengan memperluaskan akses pembiayaan kepada golongan yang kurang mendapat liputan sejajar dengan matlamat yang digariskan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Pertanian adalah antara sumber ekonomi terpenting di Sabah. Justeru, menerusi pembangunan sektor pertanian di Sabah yang semakin melonjak, Agrobank yakin bank bergerak ini mampu merangsang ekonomi di Sabah.
"Pada masa yang sama ia juga dapat membantu memudahkan urusan perbankan penduduk menerusi perkhidmatan pengeluaran dan deposit di mesin juruwang automatik (ATM) serta tawaran khidmat nasihat berkaitan produk bank," katanya pada majlis pelancaran bank bergerak itu di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin; Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani dan Ketua Jabatan Rangkuman Kewangan BNM, Nor Rafidz Nazri.
Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah, berkata perkhidmatan bank bergerak Agrobank di daerah Tawau, Lahad Datu dan Beaufort itu penting bagi memudahkan penduduk yang jauh dari pekan atau bandar di ketiga-tiga daerah berurusan dengan bank berkenaan.
"Perkhidmatan ini penting kerana sebelum ini penduduk dianggarkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam dan enam belas minit dengan jarak 73.8 kilometer untuk ke pekan terdekat bagi mendapatkan akses perbankan.
"Usaha ini bukanlah yang pertama daripada Agrobank. Sebelum ini, inisiatif seumpama ini pernah diperkenalkan pada 1970-an yang dikenali sebagai Bank Bergerak Bank Pertanian Malaysia.
"Pada November 1994, Agrobank turut menyediakan bank terapung pertama di Malaysia, dikenali sebagai PATRIOT Rejang yang menyusuri Sungai Rejang untuk menyediakan akses perbankan asas bagi komuniti di sekitar Kapit, Sibu dan Belaga di Sarawak.
"Terbaharu, pada 2022, Agrobank turut melancarkan vank bergerak dengan mekanisme yang sama di Sarawak," katanya.
Beliau berkata, dengan lokasi perkhidmatan perbankan Agrobank kebanyakannya di kawasan luar bandar, pihaknya percaya perkhidmatan kewangan yang komprehensif termasuk secara bergerak mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi selain memperkasa individu dan komuniti.
Sementara itu, Mohamad berkata, usaha Agrobank itu bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan rangkuman kewangan dan pada masa yang sama membantu membangunkan sektor pertanian negara.
Bank bergerak Agrobank adalah program bantuan yang disediakan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dengan peruntukan RM18 juta untuk membantu segmen yang kurang mendapat liputan ke arah pengukuhan ekonomi yang lebih baik.