Jumaat, 3 Februari 2023 | 5:22pm
Apurva (kiri) pada taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkini Bank Dunia bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ -NSTP/Amirudin Sahib.
Apurva (kiri) pada taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkini Bank Dunia bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ -NSTP/Amirudin Sahib.

BNM wajar hentikan sementara kenaikan OPR - Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghentikan sementara kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat masa ini, demikian pandangan Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata kebimbangan meningkat terhadap prestasi ekonomi tahun ini di samping kesan daripada pelarasan kadar yang mengambil masa juga mendorong bank pusat untuk menghentikan sementara kenaikan kadar.

Beliau berkata, secara lazimnya, perubahan dalam dasar monetari mengambil sedikit masa untuk melihat kesannya iaitu kira-kira lapan hingga 12 bulan.

"BNM menaikkan kadar (OPR) beberapa bulan lalu dan adalah baik untuk BNM menghentikan sementara dan menilai kesan kenaikan OPR itu," katanya bagi mengulas sama ada BNM akan mengekalkan kadar semasa OPR tahun ini.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkini Bank Dunia bertajuk 'Expanding Malaysia's Digital Frontier' di sini, hari ini.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada mesyuarat pertamanya bagi 2023 telah membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

OPR dinaikkan empat kali berturut-turut sejak Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis menjangkakan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu pada 3.00 peratus.

Berita Harian X