KUALA LUMPUR: Tokoh industri automotif negara yang juga Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, meninggal dunia semasa mengerjakan ibadah umrah di Jeddah, Arab Saudi.
Beliau yang memimpin persatuan itu sejak lebih 30 tahun lalu dijangka dikebumikan di Arab Saudi, demikian menurut MAA dalam satu kenyataan.
"Pemergian Datuk Aishah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada semua ahli MAA, malah seluruh industri automotif.
"Beliau yang sangat dihormati dalam kalangan peserta industri tempatan dan rakan asing di ASEAN, Asia Pasifik dan kerajaan dianggap sebagai legenda serta personaliti automotif terkemuka yang mengabdikan tahun-tahun terbaik dalam hidupnya dengan menyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan industri automotif Malaysia bersama visi, dedikasi dan semangatnya," kata MAA.
Menerajui jawatan presiden sejak 1991 iaitu ketika MAA masih dikenali sebagai Persatuan Peniaga Permotoran Malaysia atau MMTA, Aishah menerajui pertumbuhan MAA untuk menjadi persatuan industri automotif terkemuka di Malaysia.
Di bawah pimpinannya, MAA berkembang dari segi kedudukan, keahlian dan sumber.
"Dengan kepimpinan dan komitmen kujuh beliau, persatuan ini terbabit dalam pelbagai dialog, perbincangan dan cadangan dengan kerajaan untuk menyelesaikan isu industri dan mengkaji semula dasar bagi menyokong pengembangan dan kelangsungan industri automotif di Malaysia," tambah MAA.
Selain menerajui MAA, Aishah juga Pengerusi Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) sejak 1998 hingga kini, selain menjadi Pengerusi Persatuan Pemasang & Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM).
Dari aspek karier professional, Aishah memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam industri automotif.
Dengan pengalaman yang dimiliki itu menjadikan beliau antara individu paling berpengalaman industri.
Atas kredibiliti dan pengalaman yang meluas dalam industri ini, beliau dilantik sebagai Presiden MAA sejak Januari 2000 sehingga kini.
Aishah, 71, juga menjawat jawatan terkini sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat (Kumpulan Automotif), Sime Darby Motors Division Sdn Bhd.
Beliau juga menyandang tugas sebagai Perunding Kanan di Hyundai-Sime Darby Motors.
DRB-Hicom dalam satu kenyataan turut berkongsikan rasa sedih di atas pemergian Aishah.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata Aishah adalah seorang yang gigih dalam industri automotif dan memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran Malaysia sepanjang kerjayanya.
"Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan di dalam industri yang beliau sangat cintai," katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau menambah bahawa visi dan dedikasi Aishah dalam menguruskan MAA memberi impak yang berkekalan kepada industri, dan beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia.
"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri dan seluruh masyarakat," katanya.
Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri pula berkata, Aishah adalah individu penting yang menjadi jambatan antara peserta industri dengan kerajaan, dan sangat penting dalam usaha untuk memastikan kehendak kedua-duanya seimbang.
"Walaupun sering terperangkap dalam cuba untuk memenuhi kehendak kedua-dua pihak, Aishah sering menunjukkan kematangan dan kesabaran dalam menangani segala isu.
"Kerana kematangannya, beliau kekal menjadi Presiden MAA sehingga sekarang. Kehilangan yang sangat besar kepada industri kerana beliau terbabit dalam semua kemajuan yang peserta industri dan pihak pengguna kecapi sehingga hari ini," katanya.