Rabu, 25 Januari 2023 | 10:05pm
Bank of Thailand (BOT) - Foto Reuters
Bank of Thailand (BOT) - Foto Reuters

Kadar faedah Thailand naik empat kali berturut-turut

BANGKOK: Bank pusat Thailand menaikkan kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas (bps) pada mesyuarat keempat berturut-turut hari ini, dalam usahanya untuk membendung inflasi tinggi, walaupun kembalinya pelancong China mencerahkan prospek pertumbuhan ekonomi negara itu.

Jawatankuasa dasar monetari Bank of Thailand (BOT) mengundi sebulan suara untuk menaikkan kadar repo satu hari kepada 1.50 peratus dalam semakan semula pertama tahun ini.

Dalam kalangan 23 ahli ekonomi yang diambil pendapat oleh Reuters, 21 menjangkakan kenaikan suku mata, manakala dua lagi mengunjurkan tiada perubahan.

Ekonomi Thailand dijangka terus berkembang, manakala inflasi akan turun, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Sebarang kenaikan selanjutnya akan menjadi berperingkat dan tersusun, katanya, namun menambah bahawa ia bersedia untuk membuat penyesuaian seperti diperlukan.

"Jawatankuasa beranggapan bahawa normalisasi dasar berterusan secara berperingkat adalah laluan wajar bagi dasar monetari yang konsisten dengan tinjauan pertumbuhan dan inflasi," kata BOT.

Bagaimanapun, ia menjangkakan 'risiko meningkat daripada tekanan inflasi bahagian permintaan disebabkan oleh pemulihan ekonomi'.

Eksport juga dijangka perlahan tahun ini sebelum meningkat pada 2024 bersama pemulihan global, katanya.

Dengan tindakan dibuat hari ini, bank pusat itu sudah menaikkan kadar penanda aras sebanyak 100 bps sejak Ogos lalu.

Kitaran memperketat dasarnya bagaimanapun adalah kurang agresif berbanding negara serantau, kerana pemulihan ekonomi Thailand ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain.

Sektor pelancongan yang penting hanya mula meningkat semula akhir tahun lalu.

Purata inflasi utama mencecah paras tertinggi 24 tahun pada 6.08 peratus tahun lalu, jauh mengatasi lingkungan sasaran BOT antara 1.0 hingga 3.0 peratus.

Pada November, BOT mengunjurkan bahawa ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu akan berkembang 3.7 peratus pada 2023, selepas anggaran pertumbuhan 3.2 peratus tahun lalu, manakala inflasi akan turun kepada 3.0 peratus.

Data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dikeluarkan bulan depan.

-Reuters

Berita Harian X