Isnin, 23 Januari 2023 | 12:02pm
Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing menyegerakan proses permohonan dan kelulusan -NSTP/Danial Saad
Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing menyegerakan proses permohonan dan kelulusan -NSTP/Danial Saad

Pengambilan pekerja asing penuhi keperluan mendesak

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Pelan Penentukuran Semula Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 untuk memenuhi keperluan tenaga kerja segera dalam sektor ekonomi.

Katanya, kerajaan,yang memperkenalkan langkah melonggarkan peraturan pengambilan pekerja sehingga 31 Mac ini, menyedari kekurangan tenaga kerja yang mendesak dalam sektor/subsektor kritikal yang menjejaskan operasi dan pertumbuhan perniagaan dalam tempoh tidak menentu yang berpanjangan.

"Kami bersyukur kerana mekanisme permohonan untuk pengambilan kekal sama apabila majikan akan terus menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing untuk proses menyeluruh sebelum permohonan dan pengeluaran Visa dengan Rujukan (VDR) oleh Jabatan Imigresen," menurut FMM dalam satu kenyataan.

Melangkah ke hadapan, persekutuan itu berharap terdapat proses yang lebih lancar antara kementerian untuk meningkatkan kecekapan sistem dan mengurangkan masa diambil untuk melengkapkan proses pengambilan.

"Walaupun anggota digalak mengambil peluang daripada langkah melonggarkan peraturan pengambilan pekerja dan Pelan Penentukuran Semula Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 berdasarkan keperluan dan kemampuan, mereka turut diingatkan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja," menurut FMM.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing bagi lima sektor dan subsektor kritikal.

Sektor dan subsektor terbabit ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (membabitkan restoran sahaja).

Majikan di bawah kelima-lima sektor dan subsektor berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval, berkuat kuasa serta-merta.

Berita Harian X