KUALA LUMPUR: Fitch Solutions menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Kegara Kasar (KDNK) benar Malaysia akan lebih perlahan kepada 4.0 peratus pada 2023 berbanding jangkaan pertumbuhan kukuh 8.4 peratus pada 2022.
Ketua Risiko Negara Asia Fitch Solutions, Raphael Mok, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi kukuh dengan melepasi sasaran dalam tempoh suku pertama hingga suku ketiga 2022.
Namun begitu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan akan perlahan mendadak pada tahun ini berikutan kesan asas negatif dan cabaran lain meskipun ketidaktentuan politik di negara ini sudah reda.
"Dengan tinjauan ekonomi global melemah dan industri semikonduktor memasuki kitaran menurun, pertumbuhan eksport akan terkesan.
"Pertumbuhan pelaburan akan juga merosot berikutan peningkatan kos pinjaman sementara rangsangan daripada peningkatan mendadak permintaan akan reda memandangkan isi rumah dan perniagaan sudah mengeluarkan simpanan mereka," katanya pada taklimat terkini makroekonomi Asia Pasifik 2023 secara maya, hari ini.
Mengulas lanjut impak situasi politik domestik, Mok berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama pakatan beberapa parti yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi kelegaan dari segi ketidaktentuan politik.
Justeru, beliau berkata, pihaknya meningkatkan skor Malaysia dalam Indeks Risiko Politik Jangka Pendek kepada 72.9.
Katanya, peningkatan skor itu mencerminkan ketidaktentuan politik di negara ini yang sudah reda.
"Kerajaan Perpaduan kini memegang majoriti dua pertiga, sekali gus memudahkan untuk mereka membuat perubahan dalam Perlembagaan jika mereka mahu," katanya.
Mok berkata, pelancongan dijangka pulih merentasi Asia termasuk Malaysia tahun ini berikutan kedatangan pelancong China susulan pembukaan semula sempadan China.
Beliau berkata, kemasukan pelancong China adalah penyumbang penting kepada kerancakan sektor pelancongan Malaysia.
Mok berkata, Fitch Solutions juga menjangkakan kebanyakan kerajaan di rantau Asia akan mempercepatkan usaha konsolidasi fiskal pada 2023 berikutan pengurangan perbelanjaan berkaitan pandemik.
Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan defisit fiskal yang lebih kecil bagi negara di rantau ini termasuk Malaysia.