Isnin, 16 Januari 2023 | 4:12pm
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz -NSTP/Saifullizan Tamadi
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz -NSTP/Saifullizan Tamadi

MDEC sasar RM49 bilion pelaburan digital di Malaysia

CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk mencapai pelaburan diluluskan mencecah RM49 bilion dan mewujudkan kira-kira 49,000 pekerjaan baharu menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahadhir Aziz, berkata MDEC yang optimis dengan prospek pertumbuhan pelaburan digital khususnya dalam bidang teknologi data dan berkaitan perkhidmatan juga meletakkan sasaran pendapatan sektor digital sebanyak RM29 bilion dan eksport RM16 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"MDEC menyasarkan untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi selain mengembangkan lagi syarikat teknologi tempatan seterusnya memacu penggunaan digital di Malaysia," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Mahadhir berkata, pertumbuhan positif dalam kemasukan pelaburan ke Malaysia bakal dipacu pembukaan semua sempadan China, meskipun pakar meramalkan ekonomi cenderung untuk meleset tahun ini.

"Jangkaan pertumbuhan sederhana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.0 hingga 5.0 peratus dan jangkaan kemelesetan pada tahun ini sepatutnya diterjemahkan kepada banyak jangkaan perdagangan. Mungkin kita akan melihat jumlah pelaburan yang lebih rendah tahun ini, namun mungkin juga ekonomi berkembang perlahan bukannya meleset.

"Bagaimanapun, kami optimistik dengan berhati-hati, berdasarkan apa yang sudah kami laksanakan sebelum ini daripada segi mendapatkan pelaburan digital yang boleh direalisasikan dalam tahun ini malah menjangkau hingga 2024.

"Justeru sekali lagi, walaupun jumlah pertumbuhan ekonomi dan aktiviti yang sederhana, kami percaya terdapat banyak lagi yang boleh diterokai di Malaysia ketika ini," katanya.

Beliau menambah, MDEC menjangkakan pelaburan baharu dalam sektor digital lebih tinggi berbanding sasaran yang termaktub dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) berjumlah RM70 bilion menjelang 2025.

Katanya, sasaran baharu mungkin boleh ditetapkan semula oleh kerajaan berdasarkan pencapaian yang diraih tahun lalu membabitkan pelaburan mencecah RM42 bilion.

"Pencapaian pelaburan yang belum diaudit dalam sektor digital bagi tahun lalu adalah berjumlah RM42 bilion dan pada 2021 juga adalah tinggi.

"Saya berpendapat kita harus melihat semula jumlah ini dan menjadi lebih bercita-cita tinggi dalam sasaran. Kami baru sahaja menamatkan fasa 1 MyDIGITAL. Justeru, untuk fasa 2, beberapa sasaran ini akan dipertimbangkan semula.

"Kita harus melihat bidang lain seperti 'blockchain' dan kecerdasan buatan (AI) kerana ini adalah pelaburan yang akan membawa lebih banyak manfaat kepada negara.

"Saya fikir trend itu ada, kami melihat perkara ini, di sinilah kami mempergiatkan aktiviti (aktiviti berkaitan pelaburan) untuk memastikan kita tidak hanya memanfaatkan dan bergantung pada pusat data. Ia tidak akan bertahan," katanya.

Berita Harian X