Jumaat, 13 Januari 2023 | 10:02pm
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli -NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli -NSTP/Asyraf Hamzah

Golongan muda disaran berniaga dalam industri pelancongan

KUALA LUMPUR: Golongan muda disaran menceburi bidang perniagaan, terutamanya dalam sektor pelancongan domestik berikutan jangkaan pertumbuhan industri itu yang pesat pada tahun ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kemasukan pelancong asing selepas pembukaan semula sempadan negara juga dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

"Ramai yang tidak tahu hasil pelancongan adalah lebih banyak daripada pelancong dalam negara berbanding pelancong luar negara.

"Dari segi rantaian nilai dan perkhidmatan yang boleh diceburi dalam sektor pelancongan (domestik), ia tidak memerlukan modal yang begitu besar berbanding infrastruktur yang mungkin perlu diwujudkan jika kita beri tumpuan kepada pelancong luar negara," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian persidangan dan karnival JIWA SME 2023, hari ini.

Rafizi berkata, antara bidang tumpuan lain yang boleh diceburi anak muda adalah berkaitan rantaian makanan yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada import makanan luar.

Persidangan dan karnival JIWA SME 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, adalah anjuran Astro Awani Network Sdn Bhd.

Ia bertujuan untuk memperkasakan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk bangkit dalam tempoh pemulihan pascapandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Henry Tan, berkata pihaknya berperanan memastikan masyarakat dan usahawan tempatan sentiasa diperkasakan dengan informasi yang diperlukan untuk menyemarakkan ekonomi PMKS dan negara.

"Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 920,000 peniaga berdaftar di Malaysia dan 99 peratus daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang lebih RM518 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.

"Ini jumlah yang sangat signifikan dan kami di Astro Awani melihat potensi ini wajar diberi perhatian dan sokongan menerusi acara JIWA SME ini," katanya.

Tan berkata, program itu turut memberi fokus melalui tiga kaedah utama iaitu dengan menyalurkan kisah kejayaan yang memberi inspirasi, meningkatkan kemahiran usahawan dan tenaga kerja serta berkongsi solusi terkini untuk masalah bisnes semasa.

-BERNAMA

Berita Harian X