Khamis, 12 Januari 2023 | 4:37pm
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Program Seminar Tinjauan dan Jangkaan Ekonomi Minyak Sawit di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kanan). - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Program Seminar Tinjauan dan Jangkaan Ekonomi Minyak Sawit di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kanan). - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Hentikan eksport sawit jika EU terus sekatan - Fadhillah

PUTRAJAYA: Menghentikan eksport produk sawit ke Kesatuan Eropah (EU) boleh menjadi langkah tegas pilihan jika kesatuan itu terus mengenakan sekatan dan halangan perdagangan terhadap produk sawit.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadhillah Yusof, berkata Malaysia akan berunding dengan Indonesia dan negara pengeluar lain dalam mencari strategi berkesan menangani isu diskriminasi terhadap produk sawit.

Beliau berkata, dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia baru-baru ini, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengukuhkan ikatan kerjasama dalam industri minyak sawit dan bekerjasama secara erat dalam menangani serangan dan halangan negatif daripada pihak tertentu terutama dari EU dan Amerika Syarikat (AS) terhadap produk sawit.

Katanya, beliau akan pergi ke Indonesia mungkin hujung bulan ini atau bulan depan untuk kerjasama yang lebih erat dan membolehkan kedua-dua pihak merancang strategi berkesan untuk memasarkan produk sawit dan menangani kempen negatif terhadap produk sawit.

"Kita telah pun mematuhi dengan tegas standard antarabangsa bukan saja dalam perspektif alam sekitar tetapi juga kelestarian. EU mungkin mahu melindungi produk mereka sendiri dengan mengenakan pelbagai halangan perdagangan kepada kita kerana minyak sawit sangat kompetitif dan ia murah dan berkualiti.

"Oleh itu, kita perlu meneliti semua aspek termasuk bekerjasama rapat dengan pakar untuk menangani tuduhan EU. Namun, jika ia tidak berjaya, pilihan lain ialah menghentikan eksport ke EU dan memberi tumpuan kepada negara lain. Kita perlu berbincang dengan Indonesia," katanya pada sidang media sempena Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada menghentikan eksport produk sawit ke EU menjadi pilihan untuk menangani isu diskriminasi terhadap produk sawit oleh EU.

Fadillah berkata, Malaysia dan Indonesia komited untuk mengukuhkan kerjasama mengenai sawit di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Beliau berkata, usaha perlu diselaraskan dalam menyampaikan mesej jelas mengenai produk sawit bagi menghentikan dakwaan tidak berasas terhadap produk dan industri minyak sawit.

Katanya, langkah terbaru EU memperkenalkan perundangan baharu, EU Deforestation Regulation (EUDR) mengenai import komoditi terpilih termasuk minyak sawit yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan, akan menjadi halangan perdagangan, menambah beban pentadbiran dan meningkatkan kos pengeluaran.

Mengenai prospek pasaran minyak sawit, Fadillah berkata, pasaran minyak sawit Malaysia dijangka kekal mantap dan kompetitif pada 2023 dengan harga purata minyak sawit mentah (MSM) diunjur RM4,000 satu tan hingga RM4,200 satu tan pada 2023 berbanding RM5,087.50 satu tan pada 2022.

Beliau berkata, pada 2 Mac 2022, harga MSM melonjak ke paras tertinggi iaitu RM8,076.50 satu tan, sementara harga purata bulanan MSM mencatatkan rekod tertinggi RM6,873.00 satu tan pada Mei 2022.

Katanya, harga purata MSM pada 2022 melonjak sebanyak 15.4 peratus, tertinggi dalam sejarah minyak sawit iaitu RM5,087.50 satu tan berbanding RM4,407.00 satu tan pada 2021.

"Kenaikan ketara pada 2022 antaranya dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent di pasaran dunia, kelemahan ringgit berbanding dolar AS, konflik Ukraine dan Russia dan sekatan eksport minyak sawit oleh Indonesia," katanya.

Fadillah berkata, eksport minyak sawit dijangka berjumlah 16.30 juta tan bagi 2023 berbanding 15.72 juta tan 2022, ekoran permintaan berterusan oleh negara pengimport.

Beliau berkata, pengeluaran dijangka lebih baik pada 2023 dengan pembukaan sempadan dan langkah memudahkan kemasukan pekerja asing. - Berita Harian

Berita Harian X