Khamis, 12 Januari 2023 | 4:29pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengerusi Artroniq, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar (tiga, kiri) dan Ketua Kejuruteraan Beno, Andy Fullmer (dua, kanan) selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Artroniq Berhad (ARTRONIQ) dan Beno, Inc (BENO) di Kuala Lumpur, hari ini. - Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengerusi Artroniq, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar (tiga, kiri) dan Ketua Kejuruteraan Beno, Andy Fullmer (dua, kanan) selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Artroniq Berhad (ARTRONIQ) dan Beno, Inc (BENO) di Kuala Lumpur, hari ini. - Bernama

Sektor kenderaan elektrik mampu tarik pelaburan RM20 bilion

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangkakan sektor kenderaan elektrik (EV) mampu menarik pelaburan mencecah RM20 bilion menjelang 2025, sebelum melonjak ke paras RM40 bilion pada 2030.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jangkaan itu bersandarkan strategi teguh yang akan dimainkan MITI menerusi pasukan petugas EV dalam memastikan setiap dasar yang digubal mampu memberi limpahan manfaat kepada industri secara menyeluruh termasuk syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Pasukan Petugas EV MITI akan melihat ekosistem EV merangkumi rantaian bekalan secara menyeluruh termasuk dari aspek perisian, teknikal, bahan, kelengkapan dan kejuruteraan. Kita memiliki fokus yang pelbagai untuk EV membabitkan kereta dan motosikal.

"MITI juga akan melihat setiap komponen dalam EV untuk dikembangkan dan boleh babitkan PKS dan syarikat kejuruteraan tempatan. Kita mahu EV berkembang secara menyeluruh dan impaknya dinikmati segenap perniagaan yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pemeteraian perjanjian memorandum (MoA) antara Artroniq Bhd (Artroniq) dan syarikat Amerika Syarikat (AS) Beno Inc di sini, hari ini.Yang turut hadir, Pengerusi Artroniq, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Beno Inc, Thomas White.Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, MITI juga akan memperkukuhkan Pasukan Petugas EV bagi memperkasakan peranannya dalam memacu sektor berkenaan menjadi lebih berdaya maju.

"Saya baru mendapat taklimat daripada kementerian dan mahu melonjakkan lagi kemampuan agenda EV menjadi lebih kukuh sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

"Kita mahu dasar EV dan peranan Pasukan Petugas EV lebih fokus menjadi lebih baik supaya negara dapat meraih manfaat serta limpahan ekonomi yang dibawakan sektor ini," katanya.

Terdahulu, Artroniq dan Beno Inc memeterai MoA bagi mengeluarkan produk basikal elektrik (e-basikal) di Malaysia.

Artroniq akan bekerjasama dengan firma AS itu membabitkan perkongsian teknologi dan kepakaran untuk meneroka sektor EV menyeluruh bermula dengan e-basikal.

MoA berkenaan dijangka membabitkan nilai melebihi RM100 juta menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Dalam skop perjanjian itu, lebih 95 peratus e-basikal yang dihasilkan akan dieksport ke AS dan Eropah.Beno Inc yang juga syarikat yang berkembang pesat dalam bidang kenderaan elektrik, memberi tumpuan kepada kenderaan dua roda yang inovatif.

Syarikat itu terkenal sebagai pencipta Reevo, e-basikal tanpa hub pertama di dunia dengan jangkauan pasaran yang semakin meningkat di AS dan Eropah.

MOA berkenaan menandakan permulaan perkongsian yang akan memberi manfaat kepada Artroniq dan Beno Inc.

Di bawah syarat perjanjian Beno Inc akan memberikan hak pemasangan penuh bagi rangkaian produk Reevo sedia ada dan akan dilancarkan kepada Artroniq untuk tempoh dua tahun.

Dalam sidang media selepas majlis pemeterian MoA, Ketua Pegawai Eksekutif Artroniq, Ken Liaw Way Gian berkata, syarikat yang akan memasang dan melengkapkan komponen produk Beno Inc daripada China dijangka menghasilkan kira-kira 2,000 unit e-basikal sebulan bermula Mac ini.

"Untuk peringkat pertama, kami akan mengambil alih kilang pengeluaran sedia ada untuk menghasilkan e-basikal ini sebelum meninjau lokasi baharu untuk menubuhkan kilang pengeluaran baharu.

"Dalam perbincangan, lokasinya mungkin di Batu Kawan, Pulau Pinang membabitkan pelaburan RM5 juta.

"Peringkat kedua pula adalah eksport e-basikal ini ke AS dan Eropah. Peringkat ketiga adalah kerjasama dengan Beno Inc dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan dimulakan separuh kedua tahun ini," katanya.

Artroniq mendedahkan terdapat peluang besar dalam pasaran e-basikal, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.5 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang, dan akan mencecah AS$40 bilion (RM174.79 bilion) menjelang 2030.

"Kami percaya perkongsian ini bukan sahaja akan memberi manfaat bersama tetapi juga akan menawarkan nilai yang signifikan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami," katanya. - Berita Harian

Berita Harian X