SHAH ALAM: Pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) belum dibincangkan sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, setakat ini, belum ada sebarang mesyuarat dan pertemuan diadakan bagi membincangkan mengenai pelaksanaan semula cukai kepenggunaan itu.
"Kita belum bincang mengenai GST dan saya tidak akan memberikan kenyataan lebih daripada itu. Tidak ada sebarang mesyuarat mengenainya, tidak ada perbincangan mengenainya sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih.
"Jadi, apa yang boleh saya katakan, perbincangan belum diadakan, pertemuan juga belum diadakan. Setakat ini, itulah yang boleh saya katakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 Persatuan Firma-Firma Akauntan Bertauliah Melayu Malaysia (AMCAF) dan Institut Shariah Audit Malaysia (ISAM) di sini, hari ini.
Ahmad berkata, pendapatan negara boleh ditambah meskipun tanpa mengenakan cukai baharu seperti mengurangkan ketirisan menerusi berikutan aktiviti penyeludupan dan pelarian cukai.
Beliau berkata, ada yang mengatakan ketirisan hasil susulan aktiviti pelarian cukai dan penyeludupan rokok berjumlah kira-kira RM5 bilion, yang mana jika penguatkuasaan diketatkan, ketirisan hasil itu boleh menjadi pendapatan tambahan kepada kerajaan.
Katanya, usaha menangani ketirisan daripada aktiviti penyeludupan dan pelarian cukai sedang dilaksanakan pihak berkaitan.
"Kaedah kita melaksanakan sesuatu dengan cekap, dengan tatakelola yang baik secara berkesan maka cukai boleh ditambah dan hasil kerajaan boleh dapat ditambah.
"Hasil yang ditambah itu kelak boleh dikembalikan semula kepada rakyat," katanya.
Mengenai pembentangan semula Bajet 2023 yang dijadualkan 24 Februari ini, Ahmad berkata, belanjawan itu sedang disiapkan.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai masa lebih sebulan lagi untuk menyiapkan bajet dan usaha menyiapkannya sedang dilaksanakan.