Rabu, 4 Januari 2023 | 1:05pm
Beijing akan melonggarkan kebanyakan sekatan dan rakyatnya akan kembali melancong ke luar negara - Foto AFP
Beijing akan melonggarkan kebanyakan sekatan dan rakyatnya akan kembali melancong ke luar negara - Foto AFP

Pintu China dibuka bawa peluang perniagaan, pelabur

KUALA LUMPUR: Langkah China membuka semula pintu sempadan mulai Ahad ini dijangka melonjakkan aktiviti ekonomi negara luar, termasuk Malaysia dengan aliran trafik pelancong, perniagaan, pelajar dan pelabur hartanah bakal meningkat semula.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kasif Ansari berkata China akan berubah daripada hampir tertutup kepada hampir terbuka luas dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Beliau berkata, pengumuman kelonggaran sekatan Beijing akan menjadi peluang pertama dalam tempoh tiga tahun bagi kebanyakan rakyatnya meninjau pasaran hartanah luar negara.

Katanya, keutamaan pelancong dilihat termasuk melawat keluarga dan rakan, belajar di luar negara, perniagaan, pelancongan dan pelaburan hartanah.

"Mulai 8 Januari, Beijing akan melonggarkan kebanyakan sekatan, dan rakyatnya akan kembali melancong ke luar negara.

"Pintu (sempadan) akan dibuka kepada sumber pengembara terbesar di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika pandemik, China mengehadkan perjalanan ke luar negara, mengurangkan jumlah pasport yang dikeluarkannya dan mengarahkan rakyatnya pulang untuk menjalani kuarantin COVID-19.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan mulai 8 Januari 2023, pengembara yang masuk akan dikehendaki menunjukkan hanya ujian PCR yang negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

Sehingga kini, pengembara terpaksa menjalani kuarantin selama lima hari di hotel atau kemudahan lain dan tiga hari di rumah.

Kashif berkata, berdasarkan data pembeli China dari Juwai IQI telah mendedahkan tiga negara teratas untuk pembeli hartanah China pada Disember ialah Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, dengan Malaysia di tempat ketujuh.

"Kami menjangkakan perjalanan keluar China dan seiring dengan pelaburan hartanah akan meningkat dengan pesat pada Januari daripada paras semasa yang sangat rendah. Ia tidak boleh kembali semula ke paras 2019 sekelip mata.

"Perjalanan keluar dari China akan menjadi pantas dan mungkin mencapai tahap 2019 menjelang pertengahan 2024," katanya.

Juwai IQI mendedahkan, pelaburan hartanah antarabangsa China sudah mula pulih daripada paras terendah pandemik daripada 50 hingga 60 peratus bergantung kepada destinasi.

"Juwai IQI akan mengeluarkan laporan terkini tidak lama lagi untuk meramalkan sejauh mana pelaburan hartanah antarabangsa China akan pulih pada 2023 berdasarkan syarat dasar baharu kerajaan negara itu," katanya.

Akhbar The Global Times China melaporkan bahawa jumlah carian bagi tiket udara antarabangsa meningkat tujuh kali ganda di platform perjalanan qunar.com 15 minit selepas China mengumumkan perubahan pada dasar sempadannya, dengan destinasi utama adalah Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

Carian bagi destinasi rentas sempadan popular di platform perjalanan Ctrip meningkat 10 kali ganda dalam tempoh 30 minit berita itu, dengan Macau, Hong Kong, Jepun, Thailand, serta Korea Selatan adalah destinasi paling menjadi tumpuan.

Berita Harian X