KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus untuk seluruh 2023 selepas berkemungkinan besar mengumumkan satu lagi kenaikan terakhir sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus, 19 Januari ini.
Ahli Ekonomi Kanan Oxford Economics, Alex Holmes, berkata jangkaan konsesus akan berlaku beberapa kali kenaikan OPR oleh BNM pada tahun ini tidak menepati tingkah laku bank pusat itu pada masa lalu, begitu juga tidak menepati tinjauan ekonomi semasa.
"Kami merasakan bahawa selepas kenaikan terakhir pada 19 Januari, BNM akan mengekalkan kadar dasar pada 3.0 peratus bagi sepanjang 2023," katanya dalam satu nota.
Holmes berkata, BNM menaikkan kadar faedah secara berperingkat pada 2022, bermula 1.75 peratus sebelum mesyuarat Mei lalu kepada 2.75 peratus pada November.
Beliau berkata, walaupun jurang output masih lagi besar dan negatif sepanjang tempoh itu, terdapat kebimbangan bahawa inflasi yang dipacu oleh bekalan terutamanya akan memberikan kesan kepada jangkaan dan mewujudkan tekanan tarikan permintaan.
"Namun, ancaman daripada inflasi kini semakin reda. Kadar inflasi utama jatuh kepada empat peratus pada November 2022 daripada kemuncak 4.7 peratus pada Ogos, dan kami mengunjurkan ia akan jatuh kepada dua peratus menjelang suku ketiga 2023," katanya.
Sementara itu, beliau berkata tahap kekuatan pemulihan ekonomi mulai surut dan dijangka turun dengan pantas tahun ini.
"Kami menjangkakan jurang output akan melebar sekali lagi apabila ketidaktentuan luaran memberi kesan besar ke atas pertumbuhan," katanya.
Holmes berkata, ada risiko satu lagi kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas oleh banj pusat.
Beliau menjelaskan, menjelang mesyuarat akan datang BNM pada 19 Januari ini, data inflasi dan aktiviti mungkin tidak cukup lemah untuk mengubah pemikiran Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
"Itu akan menjadikan kadar dasar kembali kepada 3.0 peratus, paras kebiasaan di luar tempoh kemelesetan. Pastinya, selain kemelesetan ekonomi, BNM kurang cenderung untuk menyelaraskan dasar, dengan (perubahan) kadar dalam lingkungan 50 mata asas semasa tempoh normal sejak sedekad lalu," katanya.
Holmes berkata, unjuran konsensus dua hingga tiga kenaikan 25 mata asas menjelang suku kedua tahun ini yang menjadikan kadar dasar kepada 3.25 peratus hingga 3.5 peratus, akan menjadi satu perubahan besar dari segi tingkah laku BNM sebelum ini.
"Diperakui, kami merasakan bahawa inflasi tinggi sudah mengubah fungsi reaksi bank-bank pusat di kebanyakan tempat di dunia, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
"Namun, kami tidak melihat mana-mana data atau tinjauan ekonomi yang memberikan justifikasi sama di Malaysia, Jika ada sekalipun, mungkin berlaku akhir tahun ini, namun ia tidak menjadi kes asas kami pada masa ini," katanya.