KUALA LUMPUR: 2022 dirumuskan sebagai tahun pemulihan ekonomi dengan pelbagai aktiviti perniagaan berlaku sepanjang tahun selepas berdepan kelembapan disebabkan pandemik COVID-19.
Berikut adalah enam perkembangan yang berlaku dalam sektor perniagaan di Malaysia sepanjang 2022.
Kenaikan empat kali berturut-turut OPR
Di sebalik kerancakan ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan langkah menaikkan Kadar Semalaman (OPR) iaitu penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank sebanyak empat kali pada 2022 dalam usaha membendung kenaikan inflasi.
Pelarasan yang dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dengan menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei, 6 Julai, 8 September dan 3 November lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, bertujuan memastikan kestabilan harga serta kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.
Ia dapat membantu mengelakkan permintaan dalam negeri yang berlebihan, yang boleh menambah tekanan inflasi, selain mengelakkan kenaikan kadar faedah pinjaman bank lebih agresif pada masa hadapan.
Kenaikan inflasi menyebabkan beberapa ekonomi utama dunia turut menaikkan kadar faedah pinjaman masing-masing pada 2022.
Bank Pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) beberapa menaikkan kadar faedahnya untuk membendung kenaikan inflasi yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun.
Kesan kenaikan kadar faedah berikutan pelarasan OPR kepada peminjam adalah terhad, terutama kepada kumpulan yang berpendapatan rendah kerana OPR hanya memberi kesan kepada bayaran balik pinjaman kadar terapung, seperti pinjaman perumahan.
Lima pemenang lesen bank digital diumum
BNM menganugerahkan lima lesen bank digital yang membolehkan negara ini bergerak ke arah pendigitalan kewangan dengan lebih pantas.
Lima konsortium yang dibentuk syarikat berkaitan kewangan menjadi penerima lesen bank digital pertama di negara ini.
Tiga daripada penerima iaitu konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan konsortium yang diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).
Dua lagi penerima iaitu konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc; serta konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd yang akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).
Bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan menerusi penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian.
Ini sekali gus dapat memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik.
Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus berteraskan analisis data.
Pelaksanaan 5G
Perkembangan pesat teknologi membolehkan Malaysia tidak terkecuali memperkenalkan perkhidmatan 5G dengan mengumumkan ketersediaan rangkaian internet pantas itu menerusi Digital Nasional Bhd (DNB).
Rangkaian 5G berjaya dilaksana lebih awal daripada jadual dan dijangka melebihi 40 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara pada akhir 2022.
Ini juga membolehkan sasaran 80 peratus COPA dalam tempoh 18 bulan akan datang dipenuhi.
Rangkaian 5G akan mencapai 14 juta orang yang terletak di kawasan di bawah liputan dan melebihi 30 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.
Setakat ini, lima daripada enam pengendali rangkaian mudah alih di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih 20 juta pelanggan iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) sudah mula menyediakan perkhidmatan 5G runcit kepada pengguna akhir masing-masing, susulan pemeteraian perjanjian akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.
Sebagai tambahan, rangkaian 5G Malaysia juga mencapai rekod jarak dunia untuk kelajuan Gigabit, sekali gus membuka laluan untuk kesalinghubungan yang berkualiti tinggi, mampu milik dan berkelajuan tinggi.
Penggabungan Celcom-Digi
Bagi mengukuhkan rangkaian telekomunikasi dan 5G negara, dua kumpulan telekomunikasi iaitu Axiata Group Bhd, Telenor Asia Pte Ltd dan Digi.Com Bhd (Digi) melaksanakan langkah penggabungan operasi telekomunikasi Celcom Axiata dan Digi.
Melalui langkah itu, Axiata dan Telenor akan memegang pemilikan yang sama dalam Celcom Digi iaitu masing-masing sebanyak 33.1 peratus.
Selepas selesai, Axiata menerima saham Digi yang baru diterbitkan mewakili 33.1 peratus serta tunai berjumlah RM2.5 bilion yang dibiayai oleh Digi dan akan diambil alih oleh entiti gabungan (Celcom Digi).
Digi juga menerbitkan saham untuk Telenor bagi mencapai pemilikan yang sama susulan pembayaran Telenor sebanyak RM300 juta kepada Axiata.
Celcom Digi akan mengemukakan saranan kukuh untuk memacu peralihan negara ke arah masyarakat berpendapatan tinggi yang menggunakan digital menerusi penggabungan skala, kompetensi, kekukuhan kewangan dan pengalaman dalam memenuhi pelbagai keperluan pengguna Malaysia.
Ini menjadikan Celcom Digi berada di kedudukan baik untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna dan perusahaan Malaysia, mewakili pencapaian penting dalam perjalanan usaha pendigitalan negara.
Malah, Celcom Digi juga akan melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur dengan matlamat memangkin transformasi digital Revolusi Industri Keempat (4IR) dan memperkukuh ekosistem tempatan melalui penerimagunaan Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan 5G.
ALR ambil alih konsesi empat lebuh raya
Perkembangan penting membabitkan infrastruktur negara adalah pengambilalihan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR).
ALR adalah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan, yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol serta dianggotai Datuk Idrose Mohamed, Datuk Ir Soam Heng Choon, Datuk Dr Nirmala Menon dan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.
Gamuda Bhd, pemegang konsesi empat lebuh raya itu bersetuju dan memuktamadkan terma dan syarat draf perjanjian jual beli saham dengan ALR.
Di bawah draf perjanjian itu, keempat-empat lebuh raya dilupuskan kepada ALR pada RM4.477 bilion dengan bahagian Gamuda berjumlah RM2.347 bilion.
ALR juga berjaya menetapkan harga RM5.5 bilion nilai nominal bagi Sukuk Murabahah Kemampanan penarafan AAA pada 23 September 2022.
Ia sekali gus menunjukkan syarikat swasta itu memenuhi syarat substantif bagi mengambilalih konsesi empat lebuh raya.
ALR adalah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 pada akhir 2021 dengan tujuan semata-mata untuk menjalankan perniagaan sebagai syarikat induk konsesi lebuh raya.
ALR dan anak syarikatnya akan dipantau oleh lembaga pengarahnya, manakala empat syarikat konsesi yang terbabit akan terus beroperasi seperti biasa dengan pasukan pengurusan sedia ada bersama kesemua kakitangannya yang akan melaksanakan penyelenggaraan lebuh raya, sejurus cadangan pembelian konsesi-konsesi dimuktamadkan.
Kematian pengasas Public Bank
Industri kewangan dan perbankan juga dikejutkan dengan laporan sedih kematian Tan Sri Teh Hong Piow yang dianggap sebagai 'gergasi' dalam industri perbankan.
Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank itu banyak menyumbang kepada industri perbankan dari segi pengembangan produk dan perkhidmatan termasuk meluaskan akses kepada kredit untuk ekonomi.
Berikutan kematian pengasas Public Bank sejak 1965 itu, pegangan sahamnya dijangka akan diserahkan kepada syarikat amanah keluarga.
Mendiang memegang 23.4 peratus kepentingan di dalam Public Bank, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion berdasarkan harga penutup saham kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia dari segi aset itu pada RM4.40 baru-baru ini.
Selain mendiang, dua lagi pemegang saham terbesar Public Bank adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 14.5 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP sebanyak 4.1 peratus.
Pengurusan Public Bank juga masih kekal utuh dengan Lai Wan (berusia 79 tahun) sebagai Pengerusi, Tan Sri Tay Ah Lek (79) sebagai Pengarah Urusan, dan Datuk Chang Kat Kam (67) sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, selain dua Ketua Pegawai Operasi Kanan iaitu Cik Chang Siew Yen (53) dan Datuk Sulaiman Abd Manap (65).