KUALA LUMPUR: Dasar monetari di Amerika Syarikat (AS) yang ketat secara agresif menyebabkan mata wang negara maju itu mengukuh berbanding hampir semua mata wang di dunia, termasuk ringgit pada 2022.
Kenaikan kadar faedah AS secara agresif sebanyak tujuh kali pada 2022 ke paras 4.25 peratus hingga 4.5 peratus, paras tertinggi dalam 15 tahun.
Ia menjadi punca utama ringgit lemah berbanding dolar AS dengan merosot ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/1998 dengan melepasi paras RM4.70 sedolar.
Namun begitu, pertumbuhan dalam negeri yang kukuh mengurangkan tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit.
Ekonomi negara berkembang kukuh di luar jangkaan tahun ini dengan berkembang 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, selepas berkembang 8.9 peratus pada suku kedua dan 5.0 peratus pada suku pertama.
Berlatarkan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terus positif, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali berturut-turut pada 2022 kepada 2.75 peratus.
Setelah susut nilai lebih 10 peratus dalam tempoh Januari hingga Oktober 2022, ringgit kembali meningkat daripada paras terendah RM4.749 berbanding dolar AS pada awal November 2022 disokong keredaan ketidaktentuan politik domestik berikutan pembentukan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dengan penubuhan kerajaan perpaduan dan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November, ringgit meningkat mendadak empat peratus apabila ketidaktentuan politik reda mendorong keyakinan dalam pasaran kewangan.
Jika dibandingkan dengan mata wang lain, prestasi ringgit adalah lebih baik berbanding kebanyakan mata wang serantau lain, kecuali dolar Singapura dan baht.
Melangkah ke hadapan, dengan bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka memperlahankan kenaikan kadar faedahnya, dolar AS dijangka melemah pada 2023, sekali gus akan menyokong ringgit.
KAF Research mengunjurkan ringgit akan beransur-ansur mengukuh ke paras RM4.20 sedolar AS menjelang akhir 2023 berbanding RM4.40 sedolar AS yang diunjurkan bagi akhir 2022.
Ia menjangkakan julat dagangan antara RM4.15 sedolar AS hingga RM4.45 sedolar AS pada tahun depan sekiranya keadaan politik domestik kekal pada 'status quo'.
Sementara itu, TA Securities menjangkakan ringgit berprestasi lebih baik pada separuh kedua 2023 berbanding separuh pertama disokong keadaan ekonomi dan persekitaran politik domestik yang lebih baik.
Ia menjangka ringgit ditutup pada paras RM4.20 sedolar hingga RM4.25 sedolar AS menjelang akhir 2023.
"Malah, kami juga jangka kemajuan berterusan dicatatkan mata wang tempatan pada paras RM4.10 sedolar AS hingga RM4.15 sedolar AS dengan purata RM4.25 sedolar AS pada 2024," katanya.
MIDF Research pula menjangkakan ringgit akan lebih kukuh pada nilai purata RM4.30 sedolar AS dan mengakhiri 2023 pada RM4.23 sedolar AS.