KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memperkasakan perniagaan terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi berhadapan dengan jangkaan ketidakstabilan ekonomi pada 2023.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata beberapa inisiatif akan diambil seperti menubuhkan satu majlis pemerkasaan usahawan PMKS bermula dari peringkat daerah.
Beliau berkata, sejak mengambil alih mandat menerajui KUSKOP, pelbagai langkah, inisiatif dan perjumpaan telah dijalankannya bagi mengenal pasti cara dan kaedah terbaik mempersiapkan usahawan berhadapan dengan pelbagai persekitaran baru.
"Saya telah mencadangkan satu majlis diwujudkan di peringkat daerah bagi pembangunan usahawan, koperasi, peniaga kecil dan penjaja. Penting untuk kita angkat satu langkah baru yang boleh disertai oleh PMKS bagi menghadapi cabaran ekonomi.
"Bermula dengan perniagaan mikro, kecil dan koperasi, ia dapat membantu berhadapan dengan sebarang cabaran mendatang Sektor PKS dan PMKS adalah penting kepada ekonomi negara. Hampir 47 peratus rakyat ketika ini bekerja dalam sektor PKS."Kita mahu perkasakan. Bila rakyat berniaga, mikro ke kecil dan sederha, secara tidak langsung ia akan dapat menyediakan peluang pekerjaan," katanya selepas majlis pelancaran superapp TapTaplah oleh Koperasi Tanjung Keramat di sini hari ini.
Mengenai adakah Pelan Transformasi Koperasi akan diteruskan, Ewon berkata perkara itu akan diteruskan dengan pelbagai elemen baru.
Beliau berkata, pelan trasformasi itu akan menerapkan pelbagai perkara dan inisiatif baru seiring dengan kehendak dan keperluan semasa.
"Pelan transformasi koperasi akan diteruskan kerana ia sebahagian dari dasar tetapi akan diperhebatkan."Saya telah memberitahu kementerian dan agensi, antara wawasan saya adalah meneruskan dasar dan perancangan sedia ada tetapi memberi fokus tambahan yang baru terutamanya di Sabah dan Sarawak," katanya.
Koperasi Tanjong Keramat, sebuah badan koperasi yang berpusat di Putatan Sabah, melancarkan aplikasi koperasi atas talian yang pertama di Malaysia, iaitu aplikasi TapTaplah.
Seiring dengan misi ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), aplikasi TapTaplah adalah satu usaha dan peluang dalam meningkatkan produktiviti produk dan perkhidmatan Koperasi Tanjong Keramat melalui sistem aplikasi digital.
Aplikasi ini berpotensi menyediakan data dan analisis bagi tujuan pemasaran dan prestasi perniagaan koperasi sekaligus menjadikan ia sebuah platform yang mesra pengguna serta membantu koperasi dalam pendigitalan perniagaan.
Pengerusi Koperasi Tanjong Keramat, Datuk Seri Yahya Hussin, berkata platform TapTaplah berfungsi memberi tumpuan kepada operasi perniagaan dan eksperimen dengan strategi digital yang berbeza serta menjadikan proses pengambilan anggota koperasi yang lebih mudah dan pantas.
Beliau berkata, ia juga adalah sebuah pelaburan minimum untuk koperasi melabur dalam pendigitalan yang mana segala aktiviti dan pembiayaan penyelenggaraan dan penambahbaikan akan dilakukan melalui platform itu.