Selasa, 13 Disember 2022 | 2:17pm

Dalam landasan capai pelaburan RM1 bilion - MAVCAP

KUALA LUMPUR: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dalam landasan tepat mencapai pelaburan sebanyak RM1 bilion sekali gus mampu memberikan impak yang besar kepada perniagaan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Anas Hasan Aziz, berkata jumlah dana boleh diakses MAVCAP dan rakan kongsinya kini berjumlah RM2.2 bilion.

Beliau berkata, MAVCAP juga terus memainkan peranan sebagai tulang belakang pasaran modal teroka di peringkat tempatan dan serantau, menyokong usaha kerajaan untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi memacu pertumbuhan.

"Secara kolaboratif dengan rakan kongsi kerajaan dan sektor swasta dalam mendapatkan dana modal teroka, kami mewujudkan kumpulan 'wang pintar' di mana MAVCAP akan terus memperjuangkan inovasi dan memacu pembangunan ekonomi digital.

"Adalah penting untuk memupuk semangat keusahawanan yang kukuh dan ekosistem yang sangat kondusif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat baru.

"Ini pada akhirnya akan memberikan sokongan padu kepada PKS dan syarikat baharu kerana syarikat ini akan menentukan masa depan negara kita," katanya ketika berucap pada MAVCAP Accelerating Ventures 2022 di sini hari ini.

Shahril berkata, sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), syarikat modal teroka terbesar negara itu melalui perkongsian dengan sektor swasta telah mewujudkan kumpulan pembiayaan modal teroka yang boleh diakses oleh syarikat pemula teknologi berjumlah RM2.2 bilion.

Beliau berkata, ini adalah 4.5 kali lebih banyak daripada apa yang telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada MAVCAP di bawah RMK.

"Kesan pengganda ini telah dapat memastikan kemampanan industri serta memberi manfaat kepada pengurus dana dan memperjuangkan inovasi oleh syarikat baru.

"Sebagai contoh, salah satu unicorn tempatan kami iaitu Carsome, MAVCAP telah melabur sekitar AS$3 juta melalui pelbagai dana dan syarikat itu kini dinilai pada 15.7 kali ganda jumlah pelaburan.

"Ini adalah bukti usaha kami dalam memperjuangkan inovasi di pentas global," katanya.

Shahril berkata untuk 2023, pihaknya berharap dapat memainkan peranan lebih banyak dalam peringkat pertumbuhan pasaran modal teroka di mana ia dapat merapatkan jurang untuk pembiayaan memandangkan dana semasa kebanyakannya di peringkat awal.

Beliau berkata, ini juga bagi memastikan kesinambungan ekosistem dan menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Malaysia.

"Kami mempelawa sektor swasta untuk bekerjasama rapat dengan kami dan rakan kongsi kami untuk lebih aktif dalam ruang menarik ini," katanya.

Berita Harian X