KUALA LUMPUR: Rangkaian 5G dijangka mencapai liputan 80 peratus menjelang 2024, termasuk lebih banyak zon perindustrian di seluruh negara dan bakal dinikmati hampir 28 juta pengguna dalam tempoh tiga tahun selepas teknologi itu tersedia sejak Disember tahun lalu.
Digital Nasional Bhd (DNB) dalam satu kenyataan berkata, rangkaian dan infrastruktur 5G Malaysia sedang dibangunkan mengikut jadual yang dipercepatkan.
Katanya, liputan itu kini mencapai 38 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara, termasuk kawasan perindustrian utama di seluruh Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
"Orang ramai boleh melihat kawasan liputan 5G semasa pada Peta Liputan Interaktif DNB, yang sudah termasuk bahagian Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kelantan, serta Sabah dan Sarawak," katanya.
Setakat ini, lima Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) utama iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) – telah memulakan perkhidmatan runcit 5G untuk pengguna, berikutan pelaksanaan Perjanjian Akses dengan DNB, masing-masing pada 31 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, DNB berkata, kos yang diluluskan bagi rangkaian 5G dan penggunaan infrastruktur ialah RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Katanya, rangkaian terbabit dibiayai menerusi hasil yang dijana oleh penjualan kapasiti 5G MNO dan tiada pembiayaan atau jaminan kerajaan selain daripada pelaburan permulaan awal sebanyak RM500 juta.
Kenyataan DNB menyusul bagi memperbetulkan kenyataan tertentu yang dibuat pada Persidangan Industri 4.0 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) 2022, baru-baru ini.
FMM menggesa kerajaan membina infrastruktur 5G dalam tempoh lima tahun, mengurangkan harga langganan 4G dan menetapkan harga langgan untuk 5G.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dilaporkan berkata, dari sudut pandangan persekutuan itu, 10 tahun adalah terlalu lama untuk pelaksanaan teknologi 5G di seluruh negara menerusi pelaburan mencecah RM15 bilion.
Beliau menambah, kerajaan mesti menyediakan rangkaian 5G yang stabil di seluruh negara untuk menyokong pendigitalan ekonomi.