Jumaat, 18 November 2022 | 5:01pm
Bank Indonesia menaikkan kadar faedah 175 mata asas sejak Ogos 2022 - Foto Reuters
Bank Indonesia menaikkan kadar faedah 175 mata asas sejak Ogos 2022 - Foto Reuters

Indonesia naikkan kadar faedah tiga bulan berturut-turut

JAKARTA: Bank pusat Indonesia menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas buat bulan ketiga berturut-turut, bagi meningkatkan lagi tindak balasnya terhadap jangkaan inflasi 'tinggi' di tengah-tengah latar belakang ekonomi yang kukuh.

Bank Indonesia (BI) menaikkan kadar repo berbalik tujuh hari kepada 5.25 peratus, menepati jangkaan majoriti ahli ekonomi yang dibuat oleh Reuters.

Ia turut menaikkan kadar dasar lain dengan jumlah yang sama.

Gabenor BI, Perry Warjiyo dalam satu sidang akhbar secara maya memberitahu bahawa tindakan 'ke hadapan' dan 'mendahului' itu disasarkan untuk meredakan jangkaan inflasi dan meningkatkan sokongan kepada rupiah.

Dengan ekonomi global sedang mengalami kelembapan dan beberapa negara berdepan risiko kemelesetan, beliau berkata aktiviti di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sedang meningkat.

Bank pusat itu kekal dengan unjurannya bahawa pertumbuhan akan berada di paras atas lingkungan 4.5 hingga 5.3 peratus pada 2022, sambil menambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan 'tinggi' tahun depan.

"BI akan mengukuhkan tindak balas dasar monetari untuk menurunkan jangkaan inflasi yang ketika ini terlalu tinggi," kata Warjiyo, sambil menambah kenaikan kadar faedah itu adalah lebih 'terukur' dan tidak 'agresif' seperti yang dibuat oleh beberapa negara lain.

Dengan peningkatan itu, BI telah menaikkan kadar faedah berjumlah 175 mata asas sejak Ogos lalu, menyamai tahap kitaran pengetatan dasar yang dibuat pada 2018.

-Reuters

Berita Harian X