KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pesat ekonomi negara yang dicatatkan pada suku ketiga 2022 dijangka kehilangan momentum bagi suku tahunan berikutnya berikutan peningkatan ketidaktentuan luaran, demikian menurut penganalisis.
Ahli Ekonomi Kanan Oxford Economics, Alex Holmes, berkata beberapa data frekuensi tinggi telah menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Beliau berkata, eksport nominal mula menyusut kembali pada September, manakala Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan menunjukkan kehilangan momentum dalam industri, dengan bacaan merosot lebih dalam ke zon penguncupan.
"Kami melihat trend yang semakin lemah ini semakin meningkat dalam beberapa bulan akan datang dan prestasi cemerlang ekonomi Malaysia baru-baru ini akan berakhir pada 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Holmes berkata, walaupun ekonomi Malaysia berkembang pesat 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, pihaknya mengekalkan pandangan bahawa kemerosotan mendadak dalam momentum ekonomi pada suku akan datang berikutan ketidaktentuan luaran yang menyebabkan eksport barangan merosot.
Beliau berkata, di samping kelembapan ekonomi utama tahun depan, Malaysia juga terdedah kepada pembalikan dalam peralihan akibat pandemik kepada barangan daripada perkhidmatan, serta pusingan dalam kitaran semikonduktor.
"Berdasarkan latar belakang itu, kami meragui permintaan dalam negeri boleh berkembang kukuh, dengan sektor luaran yang lebih lemah berkemungkinan mempengaruhi pertumbuhan pelaburan, pekerjaan dan pendapatan," katanya.
Sementara itu, MARC Ratings Bhd berkata, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sembilan bulan 2022 telah berkembang lebih baik daripada jangkaan iaitu 9.3 peratus, pihaknya telah menaikkan unjuran pertumbuhan penuh bagi 2022 kepada 8.0 peratus.
Namun, menuju ke hadapan, agensi penarafan itu menjangkakan kadar pertumbuhan sederhana berikutan ketiadaan kesan asas rendah serta kemungkinan ketidaktentuan luaran yang lebih teruk.
"Bagi 2023, kami menjangkakan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding unjuran rasmi 4.0 peratus hingga 5.0 peratus," katanya.
Bagi MIDF Research pula, ia telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2022 kepada 8.0 peratus berbanding 6.6 peratus sebelumnya selepas pengembangan yang lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga.
Ia berkata, peningkatan secara berterusan dalam pendapatan dan keadaan pasaran pekerjaan yang positif akan terus menyokong aktiviti penggunaan pada suku akhir 2022 dan 2023.
"Walaupun dengan peratus sifar suku ke suku pada suku seterusnya, pertumbuhan KDNK 2022 dijangka mencapai sekurang-kurangnya 7.7 peratus,'' katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal optimis pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin dipengaruhi oleh ketidaktentuan luaran.
Ia berkata, tempahan baharu dan pesanan eksport menyumbang kepada kemerosotan dalam PMI pembuatan, menunjukkan tanda-tanda permintaan yang perlahan.
Katanya, permintaan luar mungkin perlahan sekiranya berlaku kelembapan global dalam persekitaran peningkatan mendadak dalam kos pinjaman berikutan pengetatan dasar oleh beberapa bank pusat di seluruh dunia.
Di peringkat domestik pula, MIDF Research berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menentukan magnitud risiko politik kepada ekonomi Malaysia.
Katanya, sekiranya berlaku Parlimen tergantung dalam tempoh yang lama berpanjangan, ia mungkin menimbulkan risiko ekonomi terutamanya terhadap perbelanjaan kerajaan, Bajet 2023 dan pelaksanaan dasar awam.