Ahad, 13 November 2022 | 12:10pm
Ringgit baru-baru ini diniagakan di bawah paras RM4.70 berbanding dolar AS - Foto hiasan
Ringgit baru-baru ini diniagakan di bawah paras RM4.70 berbanding dolar AS - Foto hiasan

Ringgit diunjur RM4.10 berbanding dolar AS tahun depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berprestasi lebih baik dan stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun depan dengan diunjurkan berlegar sekitar RM4.10 hingga RM4.35 sedolar, demikian kata Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.

Beliau berkata, prestasi lebih baik itu berikutan dolar AS dijangka melemah susulan langkah bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranannya secara strategik dalam memastikan kestabilan harga, pertumbuhan dan pekerjaan, malah bank pusat tempatan itu telah bertindak secara taktikal dalam menaikkan kadar dengan cara yang sangat tersusun.

"Bagi tahun ini, kami telah membuat semakan semula unjuran untuk ringgit berada pada paras RM4.49 dan RM4.87 berbanding dolar AS.

"Tinjauan ringgit berbanding dolar AS bagi 2023 ialah sekitar RM4.10 hingga RM4.35 berikutan jangkaan penyusutan dolar AS, harga minyak yang lebih tinggi kembali dalam persamaan dan kembalinya kestabilan struktur dalam ringgit," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai prestasi ringgit baru-baru ini yang diniagakan di bawah paras RM4.70 sedolar.

Pada jam 6 petang sesi dagangan Jumaat lalu, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 4.6200/6250 berbanding dolar AS daripada 4.6950/6990 pada akhir dagangan Khamis.

Sementara itu, Pengarah/Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata pihaknya menjangkakan ringgit akan mula kukuh apabila Fed mengurangkan kadar kenaikan kadar dananya.

Beliau berkata, walaupun Fed telah menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas pada awal bulan ini, tetapi pasaran menjangkakan Fed akan mengurangkan kadar kenaikan kepada 50 mata asas pada Disember ini, yang disifatkan sebagai 'pivot' oleh pemerhati pasaran.

Katanya, pengukuhan dolar AS tahun ini adalah disebabkan tindakan agresif Fed dan ia menyebabkan ringgit kurang nilainya jika dibanding dengan asas ekonomi Malaysia.

"Jadi, jika berlaku sebaliknya, kita akan lihat ringgit mula kukuh kembali dan akan lebih dekat mencerminkan asas ekonomi negara.

"Kami menjangkakan ini akan berterusan untuk masa terdekat selagi mana terdapat jangkaan Fed akan memulakan 'pivot' mereka," katanya.

Berita Harian X