KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyasarkan lebih 150,000 pengunjung pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) tahun ini yang akan diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Acara literasi kewangan tahunan yang bakal berlangsung selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 November ini turut disertai oleh syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata MSAM yang dianjurkan pada setiap tahun sejak 2000 telah menarik lebih 3.9 juta pengunjung atau hampir 200,000 pengunjung setiap tahun.
"Untuk MSAM 2022, PNB menyasarkan penyertaan 150,000 orang pengunjung khususnya dari sekitar Negeri Sembilan dan lokasi berdekatan lain.
"Orang ramai dijemput berkunjung ke MSAM 2022 mulai 24 November hingga 30 November di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan dari jam 10 pagi hingga 10 malam," katanya selepas majlis memperkenalkan Rakan Korporat MSAM 2022 di sini, hari ini.
Ahmad Zulqarnain berkata, ini adalah kali pertama MSAM dianjurkan secara fizikal selepas dua tahun dianjurkan secara digital selaras perjalanan transformasi organisasi yang menekankan kepentingan inisiatif pendigitalan.
Beliau berkata, MSAM 2022 kali ini membawa tema 'Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan', seiring dengan aspirasi PNB menyokong penciptaan nilai mampan jangka panjang sejak mula penubuhannya yang mencerminkan mandat yang diberikan kepada unnyatuk meningkatkan kekayaan Bumiputera dan semua rakyat.
"MSAM kembali tahun ini dengan mengekalkan tumpuan kepada pendidikan pelaburan yang disampaikan secara interaktif dan infotainment yang bertujuan mendidik dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan ilmu mengenai pelaburan dan perancangan kewangan," katanya.
Ahmad Zulqarnain berkata, selain Rakan Premier MSAM 2022, terdapat juga kategori rakan utama daripada S P Setia Bhd, Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MNRB Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).
Beliau berkata, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Duopharma Biotech Bhd adalah sebagai Rakan MSAM 2022.
MSAM 2022 kali ini menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri.
Di samping itu, katanya, peranan Rakan Korporat MSAM 2022 juga diperjelaskan sebagai penyumbang utama pendapatan PNB.
"Orang ramai boleh melihat sendiri keteguhan syarikat-syarikat di mana wang mereka dilaburkan melalui unit-unit amanah yang diuruskan oleh ASNB seperti AmanahSaham Bumiputera (ASB) serta Amanah Saham Malaysia (ASM).
"Pengunjung juga dapat mempelajari bagaimana pulangan yang diperoleh menerusi pelaburan dalam syarikat-syarikat strategik ini diagihkan semula kepada pemegang unit dalam bentuk pengagihan pendapatan," katanya.
Pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM1 juta telah disediakan untuk dimenangi oleh pengunjung.
Antara hadiah utama yang disediakan adalah sebuah kereta elektrik Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000; sebuah kereta elektrik Toyota Corolla Cross Hybrid Electric bernilai hampir RM140,000; sebuah Perodua Alza 1.5 AV berharga RM75,500; sebuah motosikal Yamaha MT-25 berharga RM21,500 dan enam buah motosikal Yamaha 135 LC FI selain pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik.
MSAM 2022 juga akan terus mengekalkan beberapa aspek digital yang diperkenalkan semasa penganjuran MSD, antaranya e-pendaftaran, kuiz pengunjung bertuah dan aplikasi acara yang memaparkan semua maklumat serta kaji selidik MSAM yang dipermudahkan melalui imbasan kod respons pantas.