KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berpotensi berkembang melebihi 7.0 peratus tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata, pertumbuhan kukuh 14.2 peratus pada suku ketiga itu menjadikan ekonomi negara dalam tempoh sembilan bulan mencatatkan pertumbuhan yang baik iaitu 9.3 peratus.
Katanya, ekonomi akan terus berkembang meskipun pada kadar yang lebih sederhana pada suku keempat 2022 berikutan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas.
"Pertumbuhan bagi seluruh 2022 dijangka kekal kukuh berikutan pertumbuhan yang kukuh pada tiga suku pertama tahun ini.
"Pertumbuhan yang sangat selesa dalam sembilan bulan tahun ini, (menjadikan) keseluruhan pertumbuhan tahun ini akan melebihi tujuh peratus," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi dan kewangan suku ketiga 2022 di sini, hari ini.
BNM sebelum ini mengunjurkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus bagi 2022.
Mengenai prospek pada 2023, Nor Shamsiah berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun depan.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh berikutan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik.
Katanya, pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar serta jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
"Pelaksanaan projek infrastruktur sedia ada dan baharu, ketibaan pelancong yang lebih tinggi serta keredaan gangguan rantaian bekalan akan membantu menyokong pertumbuhan pada 2023.
"Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih terdedah pada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu," katanya.