KUALA LUMPUR: Ringgit yang kini berlegar di atas paras RM4.70 bagi satu dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka berupaya mengukuh ke paras RM4.66 sedolar hujung bulan ini, kata penganalisis.
Ia berikutan kestabilan politik selepas pilihan raya, terutamanya dengan penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Kenanga Research menjangkakan ringgit berbanding dolar AS berada pada paras RM4.57 sedolar tahun ini berbanding RM4.17 pada 2021.
Ia berkata, mata wang tempatan mungkin meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS pada Disember berikutan potensi Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan kenaikan kadar faedah dan kelemahan bermusim dolar AS.
"Walaupun masih berlegar di atas paras RM4.70 sedolar ketika ini, mata wang tempatan dijangka mengukuh menghampiri paras RM4.66 menjelang akhir November, terutama berikutan kestabilan politik pasca pilihan raya," katanya dalam nota penyelidikan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kenanga Research berkata, ringgit menyusut ke paras terendahnya menghampiri paras purata RM4.70 berbanding dolar AS pada Oktober.
Ia berkata, mata wang tempatan itu terjejas terutamanya oleh ketidaktentuan politik domestik yang semakin meningkat berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.
Jelasnya, ia juga berikutan premium hasil perbendaharaan Malaysia dan AS dalam jajaran sempit, yang mana secara purata pada Oktober adalah sebanyak 45 mata asas dan pada September sebanyak 67 mata asas.
Katanya, pengukuhan Indeks dolar AS (DXY) di tengah-tengah mesej agresif berterusan Fed dan kelemahan yuan di tengah-tengah perbezaan yang semakin meningkat antara Bank of China dan dasar monetari Fed turut memberi kesan kepada ringgit.
"Semua mata wang ASEAN-5 meneruskan kelemahannya berbanding dolar AS apabila DXY meningkat sebanyak 1.1 peratus secara purata berikutan inflasi teras AS yang lebih tinggi daripada jangkaan pada September dan bacaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2022 yang lebih baik daripada jangkaan.
"Penyusutan itu diterajui oleh rupiah Indonesia (-2.9 peratus), diikuti oleh peso Filipina (-2.4 peratus), baht Thailand (-2.2 peratus) dan dolar Singapura (-0.6 peratus)," katanya.