Jumaat, 4 November 2022 | 12:04pm
Bank Negara Malaysia (BNM)
Bank Negara Malaysia (BNM)

BNM dijangka hentikan seketika kenaikan OPR

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka 'berehat' sementara daripada menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selepas kenaikan empat kali berturut-turut tahun ini berikutan prospek ekonomi yang suram menuju ke depan.

Ahli Ekonomi Kanan Oxford Economics, Alex Holmes, berkata selepas menaikkan OPR daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, pihaknya berpendapat BNM akan memberi isyarat 'rehat' yang panjang pada mesyuarat dasar monetari seterusnya yang dijadualkan akhir Januari tahun depan.

Beliau berkata, menjelang mesyuarat dasar seterusnya oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 19 Januari 2023, data mengenai aktiviti ekonomi dan inflasi berkemungkinan merosot secara ketara.

Katanya, walaupun data ekonomi baru-baru ini kukuh, ia berkemungkinan akan mendapat tekanan apabila permintaan global yang lemah menjejaskan eksport.

"Apabila ia menjadi jelas, kami menjangkakan BNM akan mengutamakan semula risiko pertumbuhan sekali lagi. Apabila pertumbuhan ekonomi terus merosot, kami menjangkakan dasar akan kekal tertangguh sepanjang tahun.

"Risiko utama kepada unjuran kami ialah jika ringgit terus lemah, menambah tekanan inflasi," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Holmes berkata, keputusan BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dibuat berdasarkan latar belakang prospek pertumbuhan positif yang berterusan.

Beliau berkata, data ekonomi terkini adalah kukuh, dan pihaknya menjangkakan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang akan dikeluarkan bulan ini menunjukkan pemulihan yang berterusan, disokong oleh pertumbuhan eksport yang teguh dan kembalinya pelancongan.

Katanya, bank pusat Malaysia itu dalam kenyataan dikeluarkan menekankan risiko global yang semakin meningkat, tetapi kekal yakin mengenai keupayaan permintaan dalam negeri untuk menyokong pertumbuhan.

"Namun, kami berbeza dalam penilaian. Kami menjangkakan eksport tidak lama lagi akan mula merosot dengan mendadak apabila pertumbuhan global semakin perlahan dan permintaan barangan global yang meningkat, terutamanya untuk elektronik, semakin berkurangan.

"Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK merosot kepada tiga peratus pada 2023, jauh di bawah unjuran kerajaan antara empat hingga lima peratus," katanya.

Mengulas lanjut mengenai inflasi, Holmes berkata, tekanan harga kini mula reda dan inflasi menjadi sederhana kepada 4.5 peratus pada September berbanding 4.7 peratus pada Ogos.

Beliau berkata, BNM juga mengakui bahawa inflasi keseluruhan berkemungkinan berada pada paras tertinggi pada suku ketiga.

"Rasionalisasi subsidi bahan api tahun depan dijangka memberi dorongan baharu kepada inflasi. Namun, ia hadir ketika tekanan harga lain (daripada harga komoditi, kekangan bekalan global , dan permintaan pembukaan semula) semakin reda.

"Kami menjangkakan inflasi akan kembali semula kepada 3.5 peratus menjelang suku pertama dan di bawah 2.0 peratus menjelang separuh kedua tahun depan," katanya.

AmInvestment Bank Bhd bagaimanapun menjangkakan BNM akan mengumumkan satu lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat akan datang pada Januari 2023, menjadikan OPR ke paras 3.00 peratus dan kadar faedah kembali ke paras prapandemik.

Bank pelaburan itu berkata, dari sudut pandangan BNM, kenaikan OPR adalah disebabkan oleh kebimbangan inflasi daripada pemulihan di peringkat domestik, dengan inflasi teras terkini berada ada empat peratus pada September.

Namun, katanya tekanan rantaian bekalan global telah beransur reda sejak April lalu, sekali mengurangkan sedikit tekanan dari segi kos input.

"Begitupun, kelemahan ringgit yang merosot 13.9 peratus (berbanding dolar AS) adalah punca inflasi kekal tinggi," katanya.

Berita Harian X