Rabu, 2 November 2022 | 3:45pm
Gambar fail. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Gambar fail. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

SC, agensi pertanian kaji pembiayaan alternatif sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi pertanian utama telah mengadakan perbincangan mengenai kaedah menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terbabit dalam sektor pertanian dalam usaha meningkatkan keselamatan makanan negara.

Menurut SC, seramai 40 orang wakil daripada agensi dan pemain industri telah menghadiri bengkel GROW, sebuah program kerjasama baharu di bawah inisiatif utama teknologi kewangan (FinTech) suruhanjaya itu dikenali SCxSC.

"GROW adalah satu usaha kolaboratif antara SC dan rakan kongsi ekosistem bagi memanfaatkan potensi platform digital penjanaan dana alternatif. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pemain yang kurang mendapat perhatian dalam sektor-sektor strategik seperti pertanian.

"Pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (pembiayaan P2P) adalah antara mekanisme pembiayaan alternatif yang dibincangkan semasa bengkel ini, yang dikenalpasti sebagai kaedah pembiayaan dalam sektor berkaitan," katanya.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata wujud kepentingan meluaskan akses kepada pasaran modal untuk perniagaan tempatan.

"Kami telah melihat bagaimana teknologi telah memperluas pembiayaan melalui platform digital seperti pendanaan ECF dan pembiayaan P2P.

"Kami percaya saluran pembiayaan alternatif ini berpotensi untuk menangani beberapa keperluan pembiayaan PMKS dalam sektor pertanian juga," katanya.

Bengkel GROW telah disertai pegawai kanan daripada kementerian, agensi dan peserta utama dalam ekosistem pertanian yang berkaitan termasuk wakil daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Agrobank.

Awang Adek berkata, peserta bengkel telah menyeru ke arah penyelarasan ekosistem yang lebih baik bagi menggerakkan sektor pertanian ke hadapan serta mengukuhkan keselamatan makanan negara.

"Mereka juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan pembiayaan alternatif untuk sektor pertanian. Mereka mengalu-alukan pembangunan instrumen pembiayaan yang lebih inovatif untuk memenuhi keperluan perniagaan tani yang pelbagai," katanya.

Berikutan bengkel itu, SC merancang untuk melangsungkan pembabitan industri yang lebih luas bersama pemegang kepentingan utama pada tahun hadapan termasuk menganjurkan Persidangan GROW FinTech.

Ini akan diikuti dengan bengkel GROW di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendanaan ECF dan pembiayaan P2P sebagai pilihan pembiayaan yang berdaya maju untuk PKS asas tani bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Program terbabit akan melengkapkan usaha berterusan kerajaan untuk menyokong pengumpulan dana alternatif oleh perniagaan pertanian seperti Malaysia Co-investment Fund (MyCIF).

MyCIF adalah sebuah inisiatif pelaburan awam-swasta yang ditadbir oleh SC bagi pihak Kementerian Kewangan, dan telah melihat peningkatan penggunaan kempen ECF dalam sektor pertanian selepas melaksanakan nisbah khas 1:2 pada 2022 dalam sektor terbabit.

MyCIF telah melabur sebanyak RM1 untuk setiap RM2 yang diperoleh daripada pelabur swasta melalui platform yang diambil bahagian oleh penerbit yang layak.

MyCIF telah melabur bersama dalam pelbagai projek pertanian dalam aktiviti huluan dan hiliran, termasuk firma yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil pertanian dan pengeluaran akuakultur.

Berita Harian X