BEIJING: Ekonomi China berkembang pada kadar lebih pantas berbanding unjuran pada suku ketiga, demikian menurut data rasmi dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, pelabur memberikan reaksi membimbangkan terhadap penguasaan berterusan Presiden Xi Jinping ke atas Parti Komunis.
Xi seperti dijangka memperoleh penggal ketiga sebagai pemimpin pada Kongres parti itu hujung minggu lalu, namun mengejutkan pemerhati dengan melakukan penyusunan menyeluruh jawatan kepimpinan lain dengan sekutu dan anak didiknya.
Selepas laporan data ekonomi ditangguhkan minggu lalu supaya tidak bertembung dengan Kongres, kerajaan hari ini mengumumkan ekonomi berkembang 3.9 peratus dalam tempoh setahun pada suku ketiga.
China dijangka mengumumkan salah satu angka pertumbuhan suku tahunan paling lemah sejak 2020, dengan ekonomi kedua terbesar di dunia itu diselubungi oleh sekatan COVID-19 dan krisis hartanah.
Namun, pelabur sebaliknya memberikan tumpuan terhadap perkembangan politik, yang membangkitkan kebimbangan Xi dan sekutunya akan meneruskan sekatan COVID-19 serta dasar-dasar lain yang menjejaskan ekonomi.
Mata wang ekonomi kedua terbesar di dunia itu merosot dan saham di negara itu di Hong Kong menjunam ke paras terendah sejak krisis kewangan global.
Mata wang yuan susut setinggi 0.4 peratus kepada 7.2552 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paling lemah sejak Januari 2008, dan Hang Seng China Enterprises Index, yang mengukur saham-saham China disenaraikan di Hong Kong, menjunam lebih daripada lima peratus.
Ia meletakkannya dalam kedudukan terburuk bagi semua Kongres Parti Komunis sejak indeks itu bermula pada 1994.
"Pasaran bimbang bahawa dengan begitu ramai penyokong Xi dipilih, keupayaannya yang tidak tercabar untuk melaksanakan dasar yang tidak mesra pasaran kini diperkukuhkan lagi," kata ketua penyelidikn Asia di United First Partners, Justin Tang.
Salah satu kebimbangan terbesar adalah dasar sifar COVID-19, yang terus menyaksikan jutaan penduduk berdepan sekatan yang turut menghentikan operasi kilang-kilang.
China adalah ekonomi utama dunia yang terakhir untuk terus menggunakan strategi berkenaan.
"Tiada isyarat yang jelas pelonggaran ketara terhadap strategi sifar COVID-19," kata penganalisis Nomura, Tingu Lu, sambil menjelaskan bahawa seandainya sesuatu berlaku, perkara yang bertentangan telah terjadi.
Dalam ucapannya untuk menutup Kongres pada Sabtu, Xi menegaskan bahawa dasar sifar COVID-19 adalah satu kejayaan.
Beliau menaikkan pangkat Li Qiang, arkitek di belakang sekatan pergerakan selama dua bulan di Shanghai yang melumpuhkan ekonomi hab kewangan itu, ke jawatan kedua paling berkuasa dalam Parti Komunis.
-AFP