Isnin, 26 September 2022 | 10:49am
Inflasi makanan pada Ogos 2022 mencatatkan peningkatan tertinggi pernah direkodkan -NSTP/Genes Gulitah
Inflasi makanan pada Ogos 2022 mencatatkan peningkatan tertinggi pernah direkodkan -NSTP/Genes Gulitah

Momentum inflasi hampir pasti buat OPR dinaikkan lagi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir 2022 pada 22 November ini, berikutan momentum peningkatan inflasi dalam negara.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, inflasi teras mencecah paras kemuncak baharu apabila meningkat 3.8 peratus pada Ogos 2022 berbanding setahun lalu, dengan permintaan domestik terus mengukuh.

Firma penyelidikan itu berkata, inflasi teras juga masih lagi merekodkan peningkatan 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala inflasi utama terus melonjak sebanyak 4.7 peratus, tertinggi sejak April 2021.

"Peningkatan kecil dalam inflasi bukan makanan dengan inflasi makanan mencatatkan rekod tertinggi baharu menyumbang kepada peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 4.7 peratus berbanding setahun lalu.

"Bagaimanapun, kami mendapati tiga data IHP mengikut asas bulanan telah pun menunjukkan isyarat penyederhanaan. Ini sejajar dengan pembetulan kecil dalam harga komoditi global selain tekanan menurun rantaian bekalan di peringkat domestik dan serantau," katanya.

MIDF Research menambah, harga bahan api pada Ogos 2022 meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding setahun lalu, namun menguncup sebanyak 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, penurunan bulanan terbesar sejak Disember 2020.

Katanya, ia sejajar dengan penurunan harga komoditi dengan minyak mentah Brent susut kepada AS$96.5 setong bulan lalu selepas berlegar di atas AS$100 setong sejak Februari lalu.

"Selagi kerajaan mengekalkan mekanisme subsidi bahan api sedia ada, kami melihat inflasi bahan api dan tekanan inflasi keseluruhan akan kekal stabil.

"Namun dalam masa sama, kadar inflasi bukan bahan api mencatatkan rekod tertinggi 5.7 peratus yang antara disebabkan oleh kelemahan ringgit," katanya.

MIDF Research berkata, inflasi makanan di Malaysia meningkat kepada 7.2 peratus tahun ke tahun, paling tinggi pernah direkodkan.

Ia menjelaskan, sebagai pengimport bersih makanan, penurunan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu sebahagiannya telah menyebabkan kenaikan inflasi makanan.

"Dengan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menaikkan kadar dana lebih tinggi daripada jangkaan, ringgit akan kekal dalam trend melemah sehingga sekurang-kurangnya suku keempat 2022.

"Menuju ke hadapan, kami menjangkakan inflasi makanan domestik akan mencatatkan penurunan pada kadar sederhana separuh kedua 2022 berikutan penurunan harga komoditi global, terutamanya harga berkaitan pertanian," katanya.

Ahli ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, pula berkata inflasi berkemungkinan telah memuncak sama ada pada Ogos atau September 2022, dengan peningkatannya berpotensi lebih rendah dalam bulan-bulan akan datang untuk berada hampir kepada empat peratus menjelang akhir tahun ini dan ke arah tiga peratus menjelang akhir 2023.

Beliau berkata, setakat ini kebanyakan indeks komoditi utama telah mencatatkan kemuncak pada suku pertama 2022, selain daripada gas asli, di tengah-tengah perkembangan geopolitik di Eropah.

"Disebabkan itu, tekanan harga terhadap item utama seperti ayam, telur dan minyak masak akan turun apabila kos input berkurangan.

"Namun demikian, satu kebimbangan yang kita alami adalah inflasi diimport daripada kelemahan ringgit yang akan menyebabkan kos barangan lebih tinggi," katanya.

Nazmi berkata, di sebalik kenaikan inflasi teras, CGS-CIMB menjangkakan normalisasi kadar faedah oleh BNM akan berhenti seketika semasa mesyuarat MPC bulan depan, berikutan kebimbangan terhadap tinjauan global yang lemah.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan dua lagi kenaikan 25 mata asas pada separuh pertama 2023," katanya.

Berita Harian X