Rabu, 24 Ogos 2022 | 5:47pm
Ahmad Shariman (tiga dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian dan perasmian edisi kedua iTEKAD antara Yayasan Waqaf Malaysia, CIMB Islamic Bank dan Yayasan Belia Malaysia di Menara CIMB, baru-baru ini. - FOTO CIMB
Ahmad Shariman (tiga dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian dan perasmian edisi kedua iTEKAD antara Yayasan Waqaf Malaysia, CIMB Islamic Bank dan Yayasan Belia Malaysia di Menara CIMB, baru-baru ini. - FOTO CIMB

Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur edisi kedua dilancarkan

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) melancarkan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur edisi kedua selepas melihat sambutan menggalakkan pada edisi pertama.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama untuk edisi kedua inisiatif pemerkasaan komuniti itu bersama rakan program, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Yayasan Belia Malaysia (YBM) dilangsungkan di Menara CIMB, baru-baru ini.

Ia disempurnakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Dr Amir Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa Othman serta turut disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Pengerusi YBM, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim dan Pengerusi CIMB Islamic, Datuk Mohamed Ross Mohd Din. Turut hadir pada majlis itu wakil-wakil daripada rakan program iaitu Taylor's Community dan foodpanda Malaysia.

Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur edisi kedua adalah hasil kerjasama strategik bersama rakan program, YWM yang berperanan sebagai pengumpul dana Wakaf untuk program ini, manakala YBM merupakan penyelaras keseluruhan program dan juga bertanggungjawab menguruskan pemerolehan dan pengedaran motosikal kepada para peserta serta bekerjasama rapat dengan Taylor's Community selaku penyedia latihan keusahawan dan penyedia perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda Malaysia.

Ia adalah bertujuan memberi peserta peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan melalui platform foodpanda Malaysia, berserta latihan kemahiran keusahawanan daripada Taylor's Community.

CIMB Islamic dan YWM komited menyumbangkan dana Wakaf sebanyak RM300,000 sebagai dana pemula untuk program ini melalui pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat (Bertempoh) sejajar dengan matlamat iTEKAD yang mengutamakan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti Wakaf, Zakat dan sedekah.

Ahmad Shahriman berkata, program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur menyokong inisiatif iTEKAD anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), yang menggerakkan kewangan sosial melalui sokongan aktif terhadap komuniti asnaf dan golongan B40 demi mencapai daya tahan kewangan yang stabil, di samping menjana punca pendapatan yang mampan.

Tambah beliau, pihaknya sedar akan kepentingan program ini di mana latihan kemahiran keusahawanan turut ditawarkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Sempena bulan Kemerdekaan dan sejajar dengan proposisi jenama baharu Kumpulan CIMB, 'Melangkah Ke Hadapan Bersama', kami kekal komited untuk terus menyokong inisiatif iTEKAD anjuran BNM bersama-sama rakan program kami dalam usaha untuk memperkasakan ekonomi yang lebih mampan untuk kesemua peserta.

"Ini adalah sejajar dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) BNM, yang mana hasil Syariah yang dihasratkan disalur kepada inisiatif yang menjana impak positif ke arah ekonomi dan masyarakat yang mampan," katanya.

Ahmad Marzuk ketika sesi temubual selepas majlis menandatangani perjanjian dan perasmian edisi kedua iTEKAD. - FOTO Dzulkifli Shaari

Ahmad Marzuk berkata, menerusi pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat, dana wakaf yang dikumpul ini akan ditukarkan kepada motosikal iaitu "Ayn Wakaf" dan akan diserahkan kepada YBM secara Wakaf yang terikat selama 12 bulan.

Dalam tempoh perwakafan yang sama, YBM akan menyerahkan motosikal berkenaan kepada peserta program sebagai "Ariyah" atau pinjaman.

"Selepas tamat tempoh perwakafan, motosikal berkenaan akan dihibahkan kepada peserta program setelah mereka berjaya menamatkan program mengikut terma yang dipersetujui.

"Produk Waqaf seperti ini amat dititik beratkan oleh pentadbiran hal ehwal Islam dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan khususnya komuniti asnaf dan golongan B40," katanya ketika sesi temubual selepas majlis menandatangani perjanjian dan perasmian edisi kedua program tersebut.

Dengan penyertaan seramai 40 peserta yang merebut peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan di bawah naungan foodpanda Malaysia, berserta latihan kemahiran keusahawanan pada edisi pertama, edisi kedua pula menyaksikan pembabitan 50 peserta dari Lembah Klang.

Peserta akan melalui proses temu duga, diikuti dengan sesi latihan selama empat hari yang akan menampilkan pelbagai aspek keusahawanan seperti pengurusan kewangan, kemahiran teknikal dan kesejahteraan emosi.

Para peserta di peringkat akhir akan dinilai dalam sesi pitching di mana mereka harus membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan barisan panel sebelum menerima geran motosikal dan dilantik sebagai penghantar makanan.

Selepas tamat tempoh penempatan kerja satu tahun bersama foodpanda Malaysia, mereka akan diberikan pilihan untuk meneruskan pekerjaan dengan foodpanda Malaysia ataupun menjadi usahawan sepenuhnya.

Mereka yang memilih untuk memulakan perniagaan selepas tamat tempoh komitmen akan diberikan akses kepada program latihan keusahawanan CIMB MicroBiz Ready dengan kemudahan pembiayaan mikro khas, serta Program Keusahawanan Taylor's-CIMB Islamic yang menawarkan geran perniagaan.

Di samping itu, kemudahan perusahaan mikro BNM (MEF) termasuk geran-geran lain, serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana yang ditawarkan oleh CIMB Islamic juga tersedia ntuk membantu pemilik perniagaan merealisasikan aspirasi keusahawanan mereka.

Berita Harian X