Jumaat, 12 Ogos 2022 | 4:56pm
Nor Shamsiah pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 - Foto EPA
Nor Shamsiah pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 - Foto EPA

Ringgit stabil berbanding mata wang rakan dagang

KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit masih stabil berbanding rakan dagangan utama mengikut kadar pertukaran efektif nominal (NEER) di tengah-tengah pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berdasarkan NEER, ringgit mencatatkan penyusutan kecil 0.1 peratus pada suku kedua 2022.

Beliau berkata, berbanding dolar AS, ringgit menyusut nilai sebanyak 4.6 peratus berbanding mata wang utama dunia itu pada suku kedua 2022, yang mana secara umumnya sejajar dengan pergerakan mata wang serantau.

"Kita berada dalam persekitaran dolar AS yang kukuh. Dolar AS terus mengukuh berbanding ringgit dan mata wang serantau.

"Bagaimanapun, apabila melihat kadar pertukaran berbanding rakan perdagangan, kita (ringgit) secara amnya kekal stabil berbanding rakan perdagangan utama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi pada suku kedua 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Nor Shamsiah berkata, dolar AS mengukuh berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine.

Beliau berkata, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu.

Katanya, pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik akan terus bergantung pada beberapa tempoh ketidaktentuan yang ketara, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya, disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi pada beberapa bulan akan datang sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas daripada diskaun ke atas harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021.

Beliau berkata, inflasi teras diunjurkan berpurata lebih tinggi pada 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi.

Katanya, tekanan menaik terhadap inflasi dijangka kekal dibendung sebahagiannya oleh langkah kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada risiko inflasi menjadi semakin tinggi yang berpunca daripada kekukuhan permintaan dalam negeri, perkembangan harga global dan langkah dasar dalam negeri," katanya.

Berita Harian X