Jumaat, 12 Ogos 2022 | 4:01pm
Nor Shamsiah pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 - Foto EPA
Nor Shamsiah pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 - Foto EPA

OPR tidak akan dinaikkan secara terlalu agresif

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mungkin akan mengambil sikap agresif dalam melaraskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk kembali ke paras prapandemik bagi menjamin pemulihan ekonomi yang mampan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pendirian dasar monetari adalah kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.

Justeru, katanya, sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur.

"Bagi OPR kembali ke tahap prapandemik 3.0 peratus, kita (kini) berada pada 2.25 peratus, jadi ini bermakna OPR perlu meningkat sebanyak 75 mata asas.

"Kami telah menyatakan bahawa sebarang pelarasan kepada dasar monetari akan dilakukan secara beransur-ansur dan terkawal. Jadi, menukar OPR sebanyak 75 mata asas tahun ini tidak akan selaras dengan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas sama ada BNM akan mengekalkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang, Nor Shamsiah berkata, MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Beliau berkata, peningkatan sebanyak seperti 50 mata asas adalah tidak konsisten dengan pelarasan secara terkawal dan beransur-ansur.

Katanya, setakat ini, ekonomi negara juga dilihat menyerap kesan kenaikan OPR dengan baik.

"Pelarasan OPR secara beransur-ansur adalah perlu untuk mengelakkan keperluan langkah yang lebih kukuh pada masa depan," katanya.

BNM menerusi telah menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

Berita Harian X