Jumaat, 12 Ogos 2022 | 12:05pm
Pertumbuhan ekonomi Malaysia disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pembukaan sempadan antarabangsa -NSTP/Saifullizan Tamadi
Pertumbuhan ekonomi Malaysia disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pembukaan sempadan antarabangsa -NSTP/Saifullizan Tamadi

Ekonomi Malaysia cemerlang catat pertumbuhan 8.9 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pemulihan pasaran pekerjaan.

Pertumbuhan itu juga lebih kukuh berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2022, sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.

Beliau berkata, permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pelaksanaan dasar sokongan yang berterusan.

Katanya, pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

"Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan.

"Pasaran pekerjaan terus mencatatkan kemajuan sejajar dengan pengukuhan aktiviti ekonomi. Gaji dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan terus meningkat dengan sebahagiannya disokong oleh peningkatan kadar gaji minimum," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi pada suku kedua 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada suku kedua 2022, Gabenor berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8 peratus dan 2.5 peratus.

Beliau berkata, inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata, bank di negara ini juga kekal kukuh dan berkedudukan baik untuk terus menyokong pemulihan berterusan ekonomi negara.

Beliau berkata, bank terus mengekalkan peruntukan sebagai penampan kepada sebarang potensi kerugian kredit.

Pada suku kedua 2022, BNM berkata, pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku pertama 2022, sementara bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus meningkat 5.7 peratus, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan pinjaman.

Bank pusat berkata, pengeluaran pinjaman kekal mantap berikutan permintaan pinjaman yang kukuh, khususnya bagi pembelian kereta dan rumah.

Berita Harian X