Rabu, 10 Ogos 2022 | 12:49pm
Abd Latiff (tengah) mempengerusikan Sesi Pelaporan Suku Tahun Kedua TPB2030 - Foto Facebook TERAJU
Abd Latiff (tengah) mempengerusikan Sesi Pelaporan Suku Tahun Kedua TPB2030 - Foto Facebook TERAJU

TERAJU aktifkan myTPB2030 bantu syarikat Bumiputera berpotensi

KUALA LUMPUR: Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) mengaktifkan platform aplikasi pusat sehenti layan diri Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) bagi membantu syarikat pelaksana Bumiputera berpotensi.

Pengerusi TERAJU, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata platform yang dikenali sebagai myTPB2030 itu membolehkan syarikat pelaksana Bumiputera mendapatkan maklumat dan penawaran terkini daripada TERAJU dan pihak lain pada bila-bila masa.

Beliau berkata, aplikasi itu turut memaparkan proses permohonan dan kelulusan pada masa sebenar yang memudahkan syarikat pelaksana merujuk kepada garis masa implementasi dengan pantas dan selamat.

"Platform ini akan digunakan sebagai platform pengoperasian utama TPB2030 oleh pihak TERAJU, dengan sokongan pihak Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di kementerian, selain syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) yang terbabit.

"Kelestarian syarikat Bumiputera juga diberi penekanan penting melalui pemetaan syarikat pelaksana dalam rantaian nilai industri, cadangan penggabungan dan pengambilalihan, serta penyenaraian awam syarikat berpotensi," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) mempengerusikan Sesi Pelaporan Suku Tahun Kedua TPB2030 kepada pemegang taruh pemain industri di Ibu Pejabat TERAJU di Putrajaya.

Sesi pelaporan berkenaan turut memberi makluman mengenai status terkini pelaksanaan UPAB yang kini berada di fasa akhir.

"TERAJU selaku pembangun naskhah TPB2030 dan pemudah cara akan membantu industri yang telah dikenal pasti di bawah Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA), Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA) dan disokong oleh Bidang Keutamaan (PA) melalui intervensi strategik, serta sokongan melalui rangkaian ekosistem TERAJU dengan rakan-rakan kolaborasi bermandat Bumiputera.

"Pelaporan berkala ini adalah bukti ketelusan dan integriti kerajaan dalam mengemudi hala tuju sedekad TPB2030," katanya.

Dalam sesi sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid turut hadir membincangkan komitmen pihak GLC dan GLIC dalam merealisasikan visi TPB2030, sekali gus menyelaraskan hala tuju 10 tahun pemerkasaan agenda Bumiputera

Pada 6 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan hala tuju 10 tahun pemerkasaan agenda Bumiputera melalui TPB2030.

-BERNAMA

Berita Harian X