Selasa, 9 Ogos 2022 | 2:34pm
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Adham Baba. - NSTP/FATHIL ASRI.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Adham Baba. - NSTP/FATHIL ASRI.

Cradle Fund, Microsoft bangunkan ekosistem pemula niaga

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjalin kerjasama strategik dengan Microsoft Malaysia bagi membangunkan ekosistem syarikat pemula niaga tempatan.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Cradle akan bekerjasama dalam program Microsoft for Startups Founders Hub bagi menyediakan peluang meningkatkan kemahiran, memberi panduan dari segi teknikal serta menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network buat syarikat pemula niaga.

Beliau berkata, pemula niaga yang terbabit juga turut diberikan akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga AS$150,000 (RM668,400).

Katanya, MOSTI yakin kerjasama ini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih giat buat syarikat-syarikat pemula niaga di Malaysia.

"Kerjasama ini bukan sekadar menyediakan akses kepada teknologi digital kepada usahawan, malah memastikan daya tahan ekonomi, kemahiran dan pengetahuan digital dapat dikuasai.

"Selain itu ia juga mampu menyediakan persekitaran digital yang dipercayai agar perniagaan dapat berkembang maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Cradle Fund dan Microsoft Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Rahman.

Sementara itu, Matthieu Vanhaecke berkata, ketika ini terdapat lebih 2,000 syarikat pemula niaga aktif yang berdaftar di Malaysia.

Beliau berkata, syarikat pemula niaga tempatan berhadapan dengan pelbagai isu antaranya kesukaran untuk merealisasikan idea dan inovasi mereka.

Katanya, kebanyakan syarikat pemula niaga mempunyai potensi dan berdaya saing namun sukar mengambil peluang menggunakan teknologi sedia ada.

"Justeru itu, Cradle Fund sangat teruja untuk bekerja rapat dengan Mictosoft sebagai rakan kerjasama bagi mempertingkatkan kepakaran teknologi sekali gus membangunkan ekosistem pemula niaga yang lebih mampan di Malaysia.

"Langkah ini juga dapat memastikan sasaran MOSTI menerusi pelaksanaan program MYStartup dapat mewujudkan lebih 5,000 syarikat pemula niaga dan lima syarikat berstatus Unicorn menjelang akhir 2025," katanya.

Berita Harian X