Rabu, 27 Julai 2022 | 12:35pm
Antara peniaga kecil beroperasi di sekitar ibu negara - NSTP/Aswadi Alias
Antara peniaga kecil beroperasi di sekitar ibu negara - NSTP/Aswadi Alias

Sektor PKS sumbang RM572.6 bilion kepada KDNK

PUTRAJAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat kepada RM572.6 bilion, berbanding RM547.3 bilion seperti yang dilaporkan pada 2020, namun prestasi ekonomi PKS pada 2021 masih di bawah paras prapandemik 2019.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata KDNK PKS Malaysia bagi 2021 meningkat satu peratus, lebih perlahan berbanding KDNK Malaysia yang bertumbuh 3.1 peratus.

"Secara umumnya, pertumbuhan KDNK PKS akan melebihi KDNK Malaysia

namun sejak 2020, KDNK PKS telah mencatatkan pertumbuhan yang lebih

perlahan berbanding KDNK Malaysia.

"Sumbangan KDNK PKS mengecil kepada 37.4 peratus (2020: 38.1 peratus) dengan nilai ditambah sebanyak RM518.1 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan statistik PKS Malaysia bagi tahun 2021.

Statistik memperincikan sumbangan PKS kepada ekonomi dari segi KDNK, eksport dan guna tenaga.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang utama dengan kedua-dua sektor mewakili 83 peratus kepada KDNK PKS pada 2021.

Melihat kepada prestasi KDNK PKS mengikut jenis aktiviti ekonomi, Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, sektor pembuatan kembali pulih kepada 8.5 peratus daripada penurunan 2.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, prestasi yang memberangsangkan ini disokong oleh peningkatan dalam semua subsektor, terutama dalam produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang melonjak 14.4 peratus.

Katanya, nilai ditambah PKS dalam sektor pertanian turut berkembang

kepada 1.9 peratus daripada negatif 0.7 peratus dipacu oleh pertumbuhan dalam subsektor getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain.

"Namun begitu, nilai ditambah PKS bagi sektor perlombongan & pengkuarian menguncup 3.1 peratus pada tahun 2021 manakala sektor pembinaan jatuh 4.6 peratus daripada -15.4 peratus pada tahun sebelumnya.

"Nilai ditambah PKS bagi sektor perkhidmatan mencatatkan penyusutan 1.2 peratus daripada -9.0 peratus pada 2020 disumbangkan oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang merosot 5.8 peratus.

"Namun begitu, kemerosotan ini diimbangi oleh prestasi subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman & penginapan dan subsektor pengangkutan & penyimpanan & maklumat & komunikasi

yang masing-masing bertumbuh 0.5 peratus dan 2.9 peratus," katanya.

Berita Harian X