Selasa, 26 Julai 2022 | 3:15pm
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2022 (IFCTF 2022) ke-12 - Foto ihsan BNM
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2022 (IFCTF 2022) ke-12 - Foto ihsan BNM

Ekonomi Malaysia dalam laluan pemulihan kukuh

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada pada laluan pemulihan yang kukuh disokong oleh aktiviti domestik dan permintaan luar yang positif.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata ekonomi dijangka berkembang dengan stabil pada 2022 dan 2023 walaupun berdepan cabaran daripada peningkatan tekanan kos, konflik ketenteraan Russia-Ukraine dan langkah-langkah pembendungan ketat China terhadap COVID-19.

Beliau berkata, Malaysia mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk eksport negara terutama produk elektrik dan elektronik serta produk berasaskan komoditi dan produk eksport yang pelbagai dan pasaran akan terus menyokong pertumbuhan eksport negara.

"Berdasarkan pemerhatian, kami menyaksikan peningkatan yang kukuh dalam permintaan domestik, perbelanjaan domestik terutama perbelanjaan pengguna, yang mana jualan runcit, transaksi kad debit dan import barangan pengguna telah melebihi tahap prapandemik," katanya dalam ucaptama pada majlis Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2022 (IFCTF 2022) ke-12 di sini, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, pasaran pekerjaan yang semakin kukuh telah memberi manfaat kepada ekonomi negara dan 26,000 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sama seperti tahap prapandemik.

Pada masa yang sama, beliau berkata, kekosongan pekerjaan dan gaji juga meningkat, yang akan mengukuhkan lagi pemulihan permintaan dalam negeri pada masa hadapan.

Mengenai kenaikan harga, Nor Shamsiah menegaskan bahawa keadaan yang berlaku pada masa ini disebabkan fenomena global dan Malaysia terjejas akibat kesan tidak langsung daripada harga komoditi global yang tinggi kerana ia pemacu utama kenaikan kos input pengeluar.

"Perkembangan inflasi di Malaysia tahun ini mencerminkan sebahagian daripada kos ini serta permintaan dalam negeri yang semakin kukuh.

"Akibatnya, walaupun inflasi utama diunjurkan kekal rendah dan stabil serta di antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini, inflasi teras meningkat kepada purata 2.2 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 0.7 peratus pada 2021," katanya.

Beliau berkata, memandangkan ekonomi berada pada trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh dan tidak lagi dalam keadaan krisis, bank pusat melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menilai bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk mula menarik balik lebihan sokongan, menyemak semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi antara paling rendah dalam sejarah iaitu 1.7 peratus.

"Apa yang penting ialah dengan bertindak secara awal, kami akan berada dalam kedudukan untuk melakukan pelarasan kepada penetapan dasar monetari di Malaysia secara beransur-ansur dan ini juga untuk memulihkan dan menyokong pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang," katanya.

Nor Shamsiah menambah bahawa masa, kadar dan tahap kenaikan kadar faedah akan dipandu oleh penilaian.

-BERNAMA

Berita Harian X