Ahad, 24 Julai 2022 | 12:58pm
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto fail NSTP
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto fail NSTP

OPR naik dua kali lagi jika inflasi meningkat

KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman di negara ini berkemungkinan besar dinaikkan dua kali lagi tahun ini jika inflasi terus meningkat, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan pelarasan menaik sejak Mei lalu dengan kenaikan 50 mata asas setakat ini, kenaikan kadar selanjutnya adalah lebih jelas sekarang.

Beliau berkata, peningkatan berterusan dalam inflasi makanan dan bahan api, ditambah pula dengan peningkatan relatif inflasi teras, berkemungkinan mendapat perhatian yang lebih daripada pihak berkuasa.

"Walaupun kami kekal unjuran hanya satu lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas tahun ini (pada mesyuarat September akan datang), mungkin terdapat lebih banyak dorongan untuk satu lagi kenaikan 25 mata asas (pada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir pada November).

"Ia sekiranya ada lonjakan dalam harga, terutama bacaan teras, dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Inflasi utama Malaysia meningkat kepada 3.4 peratus pada Jun 2022, lebih tinggi berbanding 3.3 peratus yang diunjurkan OCBC Bank dan 3.2 peratus yang diunjurkan pasaran.

Peningkatan kadar inflasi domestik itu dipacu kenaikan harga makanan, dengan sub-indeks mencatatkan lonjakan sebanyak 6.1 peratus.

Dalam tempoh itu, Wiranto berkata, lonjakan harga ayam menunjukkan dorongan utama.

Sementara itu, beliau berkata, kesan kenaikan harga komoditi global boleh dilihat dengan jelas menerusi peningkatan inflasi harga bahan api apabila RON97, yang tidak bersubsidi melonjak ketara sebanyak 80 peratus dari tahun ke tahun kepada RM4.77 seliter berbanding RM2.67 seliter pada Jun tahun lalu, sekali gus meningkatkan inflasi keseluruhan.

Tambahan lagi, beliau berkata terdapat beberapa tanda selanjutnya bahawa kenaikan harga kini dirasai melangkaui kategori makanan dan bahan api.

"Inflasi teras meningkat 3.0 peratus pada Jun berbanding 2.4 peratus sebelumnya, menjadikan ia catatan tertinggi sejak Mac 2016. Pada akhir 2021, inflasi teras berada pada hanya 1.1 peratus tahun ke tahun," katanya.

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan inflasi makanan domestik meningkat pada kadar sederhana pada separuh kedua 2022 berikutan pengurangan sokongan subsidi makanan pada beberapa barangan dan penurunan sedikit harga komoditi global, terutama harga berkaitan pertanian.

Tambahan pula, ia berkata, inflasi makanan global seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turun ke paras terendah empat bulan iaitu 23.1 peratus pada Jun 2022.

"Kami percaya jangkaan pelaksanaan semula eksport bijirin melalui pelabuhan Laut Hitam Ukraine boleh mengurangkan tekanan inflasi makanan global dalam jangka masa terdekat. Kami menjangkakan inflasi makanan kepada purata 4.5 peratus untuk 2022," katanya.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam satu temubual bersama BH baru-baru ini menjelaskan bahawa keputusan bank pusat itu menaikkan OPR bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Kenaikan itu perlu dibuat bagi mengelakkan turun naik harga yang keterlaluan dalam ekonomi, katanya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat pelarasan dengan menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

MPC dijadual mengadakan dua lagi mesyuarat bagi menentukan OPR bagi tahun ini iaitu pada September dan November depan.

Berita Harian X