Selasa, 19 Julai 2022 | 5:24pm
Mengimbangi kenaikan harga makanan domestik akan membabitkan kos untuk kerajaan -NSTP/Aizuddin Saad
Mengimbangi kenaikan harga makanan domestik akan membabitkan kos untuk kerajaan -NSTP/Aizuddin Saad

Isu sekuriti makanan cetus kebimbangan

KUALA LUMPUR: Sekuriti makanan menjadi kebimbangan utama bagi kerajaan di Asia Pasifik (APAC) berikutan konflik ketenteraan Russia-Ukraine yang terus mengganggu bekalan dan meningkatkan kos produk pertanian, menurut laporan baharu oleh Moody's Investors Service.

Menurut laporan itu, kejutan makanan boleh meningkatkan ketidakpuasan sosial dan dasar perlindungan perdagangan, manakala tindak balas dasar terhadap kejutan baru-baru ini akan memberi implikasi kredit jangka panjang kepada kerajaan dan beberapa syarikat korporat.

Kerajaan, termasuk India, Indonesia, Malaysia dan Thailand, menggunakan harga yang ditadbir untuk makanan, bahan api dan komoditi asas yang lain.

"Mengimbangi kenaikan harga makanan domestik akan membabitkan kos fiskal untuk kerajaan atau syarikat komoditi milik kerajaan. Kadar penyatuan fiskal di beberapa negara ini dijangka perlahan berikutan tekanan perbelanjaan yang berterusan," katanya.

Moody's berkata, kelembapan ekonomi serta kehilangan pekerjaan dan pendapatan sejak dua tahun lalu turut menjejaskan negara dan komuniti secara tidak seimbang, menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada harga komoditi yang lebih tinggi.

"Di sebalik pertumbuhan ekonomi yang pesat, Asia kekal sebagai tempat kepada kebanyakan penduduk dunia yang kekurangan nutrisi," katanya.

Konflik ketenteraan Russia-Ukraine juga berlaku dengan penyelarasan dasar antarabangsa yang goyah.

Risiko dan tekanan sosial yang tinggi untuk melaksanakan pendirian dasar perlindungan dijangka meningkat, dengan beberapa pengeluar di APAC mengenakan sekatan eksport.

Misalnya, India terus mengenakan sekatan terhadap eksport gandum dan gula, Malaysia hanya melonggarkan sebahagian larangan eksport ayam dan Indonesia mengenakan larangan sementara ke atas eksport minyak sawit.

Menurut Moody's, sekatan eksport akan memburukkan lagi cabaran sekuriti makanan yang sedia ada dan akan menjadi kredit negatif bukan sahaja untuk pengimport makanan tetapi juga pengeksport makanan yang terjejas di negara-negara yang mengenakan sekatan berkenaan.

"Akan ada kesan negatif terhadap logistik dan kemudahan pelabuhan jika pengendalian di pelabuhan merosot berikutan sekatan eksport. Kekurangan bekalan akan memberi impak negatif kepada syarikat pembungkusan makanan dan pengedar.

"Bagaimanapun, kami menjangka syarikat yang diberi penarafan dalam sektor infrastruktur dan produk pengguna makanan yang terjejas, yang sebahagian besarnya adalah entiti gred pelaburan, dapat mengekalkan akses kepada pembiayaan," katanya.

Bagi kerajaan, katanya kebanyakan daripadanya mempunyai ruang fiskal yang berkurangan selepas pandemik, mengimbangi kenaikan harga makanan domestik akan membabitkan kos fiskal dan kadar penyatuan fiskal dijangka perlahan berikutan tekanan perbelanjaan yang berterusan.

Dalam persekitaran tekanan sosial yang meningkat, subsidi makanan dan pertanian akan menjadi tumpuan.

"Subsidi bersasar kepada pengguna boleh menjadi berkesan dalam mencapai matlamat pertumbuhan dan ekuiti, manakala subsidi pertanian kepada pengeluar akan memainkan peranan penting dalam sekuriti makanan dan kestabilan politik dalam pekerjaan pertanian," menurut Moody's.

-BERNAMA

Berita Harian X