Rabu, 6 Julai 2022 | 12:29pm
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)

SIBS 2022 sedia peluang teroka ASEAN

KUALA LUMPUR: Peserta Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di ibu negara bermula 6 hingga 9 Oktober akan dapat meneroka dan memanfaatkan peluang di pasaran ASEAN.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Industri Kecil dan Sederhana Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim, berkata komponen sidang kemuncak itu, termasuk Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) dan Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor, akan berfungsi sebagai laluan rangkaian untuk rakan kongsi tempatan dan antarabangsa.

"SIBS 2022 juga direka untuk menyediakan platform kepada pelabur berpotensi bagi melihat keupayaan rantaian bekalan Selangor, serta lokasi yang berpotensi dalam negeri untuk rancangan pengembangan perniagaan mereka," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran SIBS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Chang Kim berkata, sidang kemuncak itu, yang akan menghimpunkan 850 pemamer tempatan dan asing, juga akan menumpukan kepada sektor minuman dan makanan, perubatan, dan ekonomi digital, sambil meletakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan menjadi pilihan di Asia.

"Ia juga akan menawarkan cara untuk menunjukkan daya tahan, ketangkasan dan keazaman kami untuk berjaya dan terus maju walaupun menghadapi semua cabaran yang dihadapi sejak dua tahun lalu," katanya.

Melihat pasaran domestik sebagai kawasan pertumbuhan yang berpotensi, SIBS 2022 merancang untuk mengembangkan program pembeli domestiknya dengan membabitkan lebih banyak pasar raya untuk memberi liputan dan segmen pasaran yang lebih luas kepada usahawan.

"Dalam edisi tahun lalu, kami menempatkan usahawan dengan sejumlah 175 unit penyimpanan stok dengan dua pasar raya yang mengambil bahagian, iaitu Pasar Raya Besar LULU dan ST Rosyam Mart.

"Tahun ini, kami merancang untuk mengembangkannya dan membabitkan beberapa pasar raya lagi untuk memberi liputan dan segmen pasaran yang lebih luas," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X