Khamis, 30 Jun 2022 | 12:55pm
Pulau Pinang mengungguli prestasi KDNK 2021 dengan peningkatan 6.8 peratus - Foto hiasan
Pulau Pinang mengungguli prestasi KDNK 2021 dengan peningkatan 6.8 peratus - Foto hiasan

Lima negeri catat prestasi ekonomi cemerlang

PUTRAJAYA: Lima negeri merekodkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik berbanding pencapaian di peringkat nasional pada 2021, demikian mengikut perangkaan terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ekonomi negeri yang berprestasi lebih baik itu adalah Pulau Pinang, yang mengungguli prestasi KDNK 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus, diikuti oleh Selangor dengan (5.0 peratus), Terengganu (5.0 peratus), Perak (3.5 peratus) dan Kedah (3.2 peratus).

Pada tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya adalah sebanyak 3.1 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kerajaan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun 2021 sebagai strategi peralihan untuk menangani krisis pandemik COVID-19, dengan impak pemulihan itu dapat dilihat apabila semua negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan mencatatkan prestasi positif pada 2021 berbanding kemerosotan pada 2020.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia kembali menunjukkan pemulihan pada 2021 dengan peningkatan 3.1 peratus berbanding penyusutan 5.5 peratus pada tahun sebelumnya ekoran pelbagai inisiatif dan tindakan pantas yang diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memulihkan ekonomi.

"Sektor pembuatan mengukuh sebanyak 9.5 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan, 1.9 peratus dan sektor perlombongan & pengkuarian sebanyak 0.3 peratus.

"Sektor pertanian dan pembinaan masing-masing merosot sebanyak 0.2 peratus dan 5.2 peratus. Selari dengan pemulihan yang ditunjukkan di peringkat nasional, ia turut diterjemah melalui prestasi KDNK pada semua negeri yang telah mulai pulih daripada krisis globalCOVID-19 yang ditunjukkan melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Peneraju pertumbuhan utama bagi Selangor, Pulau Pinang dan Kedah adalah sektor pembuatan yang meningkat masing-masing 13.1 peratus, 12.4 peratus dan 6.2 peratus, disokong oleh kepesatan dalam industri yang berteraskan eksport iaitu produk elektrik, elektronik dan optikal.

Beralih kepada prestasi KDNK perkapita, kesemua 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan dalam nilai KDNK perkapita berbanding 2020.

Tujuh negeri mencatatkan nilai KDNK perkapita melebihi paras nasional (RM47,324) iaitu Kuala Lumpur (RM124,232), Labuan (RM78,032), Pulau Pinang (RM58,527), Sarawak (RM57,635), Selangor (RM55,568), Melaka (RM47,799) dan Negeri Sembilan (RM47,452).

Mohd Uzir seterusnya merumuskan ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada 2022 ekoran daripada peningkatan permintaan dalam dan luar negeri berikutan beberapa usaha pantas kerajaan mengurangkan impak krisis pandemik COVID-19.

Beliau berkata, ini seperti pembukaan semula sempadan antarabangsa, pelaksanaan pakej bantuan serta rangsangan ekonomi dan kejayaan Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi melandaikan lekuk pandemik.

Katanya, impaknya dapat dilihat daripada pemulihan dalam nilai KDNK pada suku pertama 2022 kepada 5.0 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021.

"Pada tempoh sama, pasaran buruh lebih kukuh dengan kadar penyertaan tenaga buruh turut naik 0.4 mata peratus kepada 69.0 peratus," katanya.

Berita Harian X